NAMA Pang Chen pasti asing bagi peminat badminton negara terutama bagi generasi baru, apa lagi ketika zamannya beraksi, namanya sering ditenggelami seniornya, Rashid Sidek.
Juara kebangsaan 1992 dan 1995 ini juga adalah antara pemain terawal menyertai kelab professional Nusa Mahsuri bersama Rashid, Ong Ewe Hock dan Yong Hock Kin, apabila ia ditubuhkan pada akhir 1994.
Antara rakan seangkatannya di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah Yap Kim Hock, Tan Kim Her, Yap Yee Hup, Yap Yee Guan, Wong Ewee Mun dan P Kantharoopan.
Pang Chen adalah antara pemain dalam skuad negara yang menjuarai pusingan kelayakan Piala Thomas Zon Asia di Auckland pada 1996 selepas menewaskan China.
Namun pasukan negara tampil mengecewakan di pusingan akhir kejohanan yang diadakan di Hong Kong.

Kini dunia badminton semakin jauh ditinggalkan Pang Chen yang akan genap berusia 49 tahun pada 12 Julai ini selepas menggantung raket pada awal 1998.
Sebaliknya tumpuan diberikan kepada perniagaan dengan mengendalikan syarikat makanan kesihatan berasaskan madu serta menguruskan tiga ’homestay’ miliknya di Melaka.
Raket tidak lagi dekat di hatinya, sebaliknya batang penyapu atau mop lebih banyak dipegangnya bagi memastikan homestay miliknya bersih dan selesa untuk penyewa.
Beliau sendiri bertindak pantas dengan maklum balas penyewa dan tidak hairanlah apabila berada dalam kategori ‘super host’ dalam platform Airbnb, laman menempah tempat penginapan.
“Saya berjinak dengan perniagaan sewaktu masih menjadi pemain di Nusa Mahsuri. Apabila bersara saya bekerja di kilang bapa saudara di Melaka sebelum kembali ke Kuala Lumpur mengendali syarikat yang membekalkan makanan kesihatan berasaskan madu.
”Namun selepas beberapa tahun saya melepaskan pegangan saya di syarikat itu. Hasil pengalaman yang ada saya, membuka syarikat sendiri di Melaka dengan mengimport madu dari China, Brazil dan Thailand,” katanya kepada CAKAPSUKAN.

Menurutnya, pengalaman yang ditimbanya penting kerana sewaktu menjadi pemain, rutin hariannya adalah hanya berlatih, makan dan tidur sebelum menyertai pertandingan.
“Saya mula terlibat dengan penyediaan homestay pada 2017. Saya lihat Melaka sentiasa dibanjiri pelancong dan daripada situ timbul idea untuk menyediakan penginapan.
“Walaupun tidak terletak di tengah-tengah bandar Melaka, namun sambutan yang diterima cukup memberangsangkan sehingga tidak menang tangan untuk menguruskannya,”katanya mengenai usahanya yang di bawah jenama ‘Memories Homestay’.
Bermula dengan rumah teres dua tingkat di Taman Paya Emas, Cheng, beliau kemudian membeli sebuah banglo kira-kira tiga kilometer dari situ dan mengubahsuainya termasuk menyediakan kolam renang sebagai kemudahan tambahan.
Terbaru, sebuah banglo di Paya Rumput turut dibeli dan diubah suai sehingga mampu memuatkan 42 hingga 70 orang, yang juga sesuai untuk diadakan seminar serta reunion.
“Penginapan dengan kolam renang paling mendapat sambutan sebab itu dua banglo yang dibeli saya pastikan ada kemudahan itu,” katanya yang kini lebih ghairah bercerita mengenai perniagaannya daripada badminton.
Namun, Pang Chen mengakui pandemik Covid 19 ketika ini memberi kesan kepada tempahan penginapannya.
“Saya percaya semua pengusaha seperti saya turut mengalami masalah yang sama terutama dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).
“Mujur PKP 2.0 masih ada tempahan walaupun tidak banyak . PKP pertama dulu memang memeritkan kerana tiada pendapatan tetapi masih perlu membayar ansuran bank,” tegasnya.
Namun Pang Chen lega sepanjang tempoh PKP 2.0 ini, homestay ketiganya mendapat tempahan jangka panjang selama tiga bulan membabitkan kumpulan yang besar.
Ditanya sama ada terdapat penyewa yang tahu beliau adalah bekas pemain negara, Pang Chen hanya ketawa sambil berkata: ”Mana ada orang kenal lagi, saya bukan star (bintang).”
Bapa kepada empat anak termasuk seorang anak lelaki yang berusia antara 9 dan 20 tahun itu mengakui ketika ini beliau hanya mengikuti perkembangan badminton menerusi televisyen sahaja.
Malah Pang Chen tidak ingat bila kali terakhir beliau memegang raket di gelanggang badminton serta menjelaskan tiada seorang pun anaknya yang cenderung kepada sukan itu.
Mengakhiri temu bual, Pang Chen mengakui satu-satu perkara yang meninggalkan kesan kepadanya adalah gagal memenangi sebarang kejohanan antarabangsa berbanding tiga rakan sepasukan di Nusa Mahsuri.
”Saya percaya mampu melakukannya jika tidak bersara tetapi badan saya tidak lagi mampu menanggung kesakitan hingga muka turut membengkak.
”Malah selepas berehat sebulan, saya tidak mampu melakukan jogging kerana semua sendi kaki begitu sakit. Itulah sebabnya saya memilih bersara secara tiba-tiba,” katanya.
Add Comment