Bola Sepak Terkini

Red Giants lancar jersi Away


Rekaan jersi baru ini tampil dengan nafas baru. (Foto : Selangor FC)

SELANGOR FC melancarkan jersi Away bagi musim 2021 yang merupakan  jersi kedua musim ini setelah jersi Home bagi musim ini telah pun dilancarkan pada 1 Februari yang lalu.

Hadir dengan warna asas biru gelap dan disertakan dengan corak berwarna biru neon, jersi ini direka dengan menyuntik unsur progresif dan adunan jati diri kelab yang berteraskan motif setiap daerah di Selangor.

Dari segi pemilihan warna, warna biru gelap melambangkan kesepaduan rakyat Selangor yang bersatu dalam memberi sokongan padu kepada pasukan Gergasi Merah, manakala warna biru neon pula merupakan simbolik kepada pembaharuan untuk masa depan yang ingin dicorakkan oleh pasukan ini.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan Selangorfc.com, rekaan jersi baru ini tampil dengan nafas baru, logo 3D Selangor FC yang ditekap pada jersi Away 2021 ini juga turut diubah kepada warna biru gelap dan biru neon untuk menepati tema warna dan simbolik kepada keterbukaan kelab untuk berevolusi mengikut peredaran zaman.

Simbolik kepada DNA baharu SFC yang sedang dibangunkan.

 

Selain itu, jersi ini juga dipadankan dengan motif peta negeri Selangor yang menekankan reka bentuk 9 daerah dalam negeri ini yang merupakan tulang belakang pasukan ini. Warna merah kuning juga dicetak dan disematkan dengan jelas pada bahagian belakang kolar jersi ini.

Untuk rekod, warna biru gelap sering kali menjadi warna jersi Away untuk pasukan Selangor. Sebagai contoh, jersi berwarna biru gelap kali terakhir pada musim 2018, selain pernah digunakan sejak sekitar tahun 1980an lagi.

Konsep ini nyata berbeza dengan unsur retro yang diketengahkan oleh jersi Home yang dilancarkan sebelum ini dan ia seolah-olah memberikan lembaran yang baharu kepada pasukan Selangor yang baru sahaja melalui penstukturan semula yang menyeluruh pada musim 2019.

Suntikan elemen moden ini sebenarnya simbolik kepada DNA baharu SFC yang sedang dibangunkan bagi membina sebuah pasukan yang mampan dengan usaha melahirkan dan mengetengahkan pemain muda untuk Selangor. Ini termasuk program pembangunan bola sepak akar umbi dalam mengasah dan memberi peluang kepada bakat-bakat muda bola sepak sambil menerapkan acuan falsafah bola sepak Selangor.

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: