Bola Sepak Terkini

KUFC tampil dengan DNA Jepun


Barisan pemain KUFC menjalani latihan menjelang saingan Liga Premier 2021.

Oleh : Subkhi Sudarji

DNA Jepun bakal diterapkan dalam corak permainan Kelantan United FC (KUFC) pada saingan Liga Malaysia musim ini.

Dibimbing bekas pengendali Kuching FA, Akira Higashiyama dan diperkuatkan tiga pemain import dari negara matahari terbit memperlihatkan kesungguhan pasukan yang tekad memberi saingan kepada pencabar lain.

Higashiyama yang baharu berusia 32 tahun merupakan ketua jurulatih paling muda dalam saingan Liga Malaysia memiliki reputasi positif khususnya sebagaimana dijelmakan ketika membimbing Kuching FA 2019/2020.

Motoyama pemain paling tua bakal beraksi di Liga Malaysia musim 2021 bersama Shukor Adan.

BISA ORANG LAMA

Hanya mengekalkan bekas Ketua pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi dan membawa masuk  Fitri Omar serta Syahrul Azwari Ibrahim dan pemain muda yang dikekalkan KUFC betul-betul mahu pasukan diremajakan dengan kombinasi pemain berpengalaman.

Daripada senarai pemain tempatan, Kelantan United banyak melakukan rombakan apabila menggugurkan ramai pemain senior seperti Daudsu Jamaludin, Amirizdwan Taj, Shahrizan Ismail, Nizad Ayub, Syazwan Yusoff dan Faizol Nazlin Sayuti selain bakal menaruhkan sepenuh kepercayaan kepada pemain-pemain muda.

Paling mencuri tumpuan ialah bekas pemain antarabangsa Jepun, Masashi Motoyama, yang berusia 41 tahun, akan menjadi pemain paling tua bakal beraksi di Liga Malaysia musim 2021 bersama Shukor Adan.

Dua lagi pemain Jepun yang lain ialah Yuki Tanigawa dan Shuhei Fukai melengkapkan senarai import Kelantan United selain Gassama Alfusainey kekal buat musim ketiga bersama pasukan.

Akira membuktikan reputasinya membimbing Kuching FA musim lalu apabila mampu mencabar pesaing lain.

MAMPU LAKAR KEJUTAN

Melihat kepada keserasian pengalaman Akira dalam saingan tempatan dan hubungan dengan pemain import Jepun yang membarisi KUFC serta pengalaman di miliki Piya, tidak mustahil skuad ini mampu memberi cabaran kepada pesaing lain.

Bak kata Akira, dia akan cuba yang terbaik dalam menggabungkan gaya permainan bola sepak Jepun bersama Kelantan United selain mengharapkan dua pemain senior, Mohd Badhri Radzi dan Fitri Omar dapat membimbing pemain muda.

“Saya sudah mengenali ketiga-tiga pemain import seperti Motoyama di Jepun sebelum ini, walaupun dia berusia 41 tahun namun peranannya lebih kepada pembimbing pemain di dalam padang.

“Saya yakin tiga pemain Jepun ini akan membawa pengaruh besar kepada pasukan dan harap KUFC mampu berikan cabaran hebat kepada semua,” katanya.

Kelantan United FC akan membuka tirai musim 2021 dengan menentang Sarawak United FC pada 6 Mac nanti.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: