
ELEMEN tradisi bola sepak Kedah dan nilai sentimental yang tinggi menjadi aspek yang diambil kira dalam pemilihan logo baru pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk digunakan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Logo baru yang sudah diumumkan secara rasmi oleh Menteri Besar, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor pada 16 Disember lalu itu juga turut didaftarkan sebagai hakmilik dan tanda dagang KDA FC di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
“Logo KDA FC yang dipilih adalah hasil rekaan oleh Ku Basri Ku Halim, pereka grafik berasal dari Pendang, Kedah, setelah melalui proses pemilihan yang diputuskan oleh Lembaga Pengarah KDA FC. Selain itu, warna tradisi seperti hijau, kuning dan merah dikekalkan bagi memberi isyarat kukuh warna tradisi negeri Kedah.
“Pihak pengurusan KDA FC telah melakukan pemantauan secara dekat berkenaan penjualan ‘merchandise’ menggunakan logo KDA FC tanpa kebenaran, penggunaan logo di bahan bercetak bagi tujuan komersial tanpa kebenaran serta pelbagai lagi kesalahan dibawah Akta Hak Cipta 1987,” menurut kenyataan Unit Media dan Pemasaran KDA FC menerusi satu kenyataan kepada pihak media.
Dalam masa sama, pengurusan pasukan juga sentiasa terbuka untuk menerima sebarang kerjasama daripada pihak berkaitan untuk bersama-sama KDA FC.
“Pihak KDA FC mengalu-alukan sebarang tawaran kerjasama dalam situasi menang-menang untuk mana-mana pihak bergabung dengan jenama KDA FC melalui kaedah penajaan, penarafan rakan rasmi, sistem francais dan sebagainya bagi memelihara nilai komersial sebuah kelab besar seperti KDA FC.
“Sebarang pertanyaan permohonan sebagai penaja dan rakan rasmi, sila e-mel ke partner.enquiries@kedahdarulamanfc.com,” katanya.
Add Comment