
BEREGU wanita utama negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean perlu menggunakan sepenuh kesempatan di Terbuka Switzerland di Basel minggu depan bagi mengumpulkan mata kelayakan Olimpik.
Selepas memilih mengetepikan All England dari 17-21 Mac, pasangan itu hanya akan bermain dalam satu kejohanan sahaja dalam saingan di Eropah bulan ini.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choon Hann berkata pasangan itu wajar memastikan segala fokus diberikan untuk mencapai keputusan yang diharapkan di Basel nanti.
“Berikutan ia satu-satunya kejohanan yang menawarkan mata kelayakan Olimpik, saya percaya mereka tahu apa yang diperlukan,” katanya kepada CAKAPSUKAN hari ini.
Tanpa pasangan handalan dunia dari Jepun, Korea Selatan dan China, Mei Kuan-Meng Yean dijangka berdepan laluan lebih mudah apabila beregu Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu turut menarik diri.
Mei Kuan-Meng Yean mulanya disenaraikan untuk Terbuka Switzerland dan Terbuka Jerman dari 9-14 Mac yang masing-masing menawarkan mata kelayakan Olimpik.
Namun penganjur Terbuka Jerman kemudian menunda kejohanan itu berikutan pandemik Covid 19 yang kian meningkat di negara itu, sekali gus menafikan pemain mencari mata kelayakan.
Walaupun diberikan pilihan sama ada mahu ke All England, pasangan itu bersama dua lagi beregu lelaki negara memilih mengetepikan saingan di Birmingham atas alasan situasi Covid 19 yang membimbangkan di United Kingdom.
Sebelum ini, gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut mengetepikan All England.
Choon Hann berkata, biarpun pemain akan kekurangan daripada pendedahan peringkat antarabangsa, BAM tidak mahu memaksa mereka beraksi.
“Tiada guna memaksa jika pemain sendiri kurang yakin dengan keselamatan diri.
“Jadi lebih baik mereka kembali ke pusat latihan untuk menyiapkan diri bagi beberapa kejohanan yang diadakan di Asia nanti pada April dan Mei,” katanya.
Add Comment