Antarabangsa Badminton Semasa Terkini

PBSI mahu Hafiz-Gloria tumpu kejar mata Olimpik


Goh soon huat-Shevon lai

PERSATUAN Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) memutuskan pemain mereka yang akan beraksi di Terbuka Switzerland minggu depan tidak akan dihantar ke kejohanan All England dari 17-21 Mac.

Ia sekali gus memberi kesempatan kepada beregu campuran mereka, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja untuk memberi fokus dalam usaha mengukuhkan kedudukan mereka dalam kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo.

Kedudukan Hafiz-Gloria untuk ke Tokyo masih belum selamat walaupun kini berada di posisi kelapan berikutan perbezaan mata yang tipis dengan pasangan lain di bawah mereka.

Setakat ini, pasangan itu mengumpulkan 60,851 mata, diikuti Tang Chun Man-Tse Ying Suet (Hong Kong) 60,566, Marcus Ellis-Lauren Smith (England) 58,918 dan Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie (Malaysia) 56,792.

Terbuka Switzerland adalah kejohanan pertama tahun ini yang menawarkan mata Olimpik manakala All England pula tidak menyediakan sebarang mata kelayakan untuk ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Menurut Ketua Bidang Pembinaan Prestasi PBSI, Rionny Mainaky, pandemik Covid-19 menyebabkan semua pemain yang dihantar ke Terbuka Switzerland dari 2-7 Mac tidak dapat dihantar ke All England.

“Ini kerana pemain harus menjalani kuarantin seminggu sebaik pulang dari Switzerland dan tidak sempat untuk ke Birmingham.

“Sewaktu kuarantin, pemain juga tidak dapat berlatih menyebabkan mereka tidak dapat melakukan persiapan semaksimum mungkin,”
katanya seperti yang dipetik dari laman sesawang PBSI.

Menurutnya PBSI tidak mahu menghantar pemain dari Basel terus ke Birmingham kerana risikonya terlalu besar, kerana keadaan Covid 19 di sana juga agak tinggi.

PBSI membariskan majoriti pemain muda ke Switzerland.

Barisan pemain

Perseorangan lelaki: Shesar Hiren Rhustavito

Perseorangan wanita: Gregoria Mariska Tunjung, Ruselli Hartawan

Beregu lelaki: Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan, Bagas Maulana-Muhammad Shohibul Fikri

Beregu wanita : Siti Fadia Silva Ramadhanti
-Ribka Sugiarto, Nita Violina Marwah-Putri Syaikah.

Beregu campuran: Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja, Adnan Maulana-Mychelle Crhystine Bandaso, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: