Bola Sepak Semasa Terkini

Bekas pemain Marcerra United dan Kuantan FA tuntut tunggakan gaji lebih RM900,000


 

Oleh : Subkhi Sudarji

SERAMAI 47 pemain dan 12 pegawai bekas pasukan Kuantan FA dan Marcerra United menuntut tunggakan gaji lebih RM900,000 daripada bekas majikan mereka.

Tuntutan gaji ini melibatkan 26 pemain dan tujuh pegawai dari Kuantan FA membabitkan nilai keseluruhan RM590,125 manakala tunggakan gaji RM313,606 pula adalah dari 21 pemain serta lima pegawai dari Marcerra United FC.

Peguam yang mewakili pemain dan pegawai berkenaan, Suhail Rahimi Abdul Razak dari Zarkasya & Co berkata, isu yang dibangkitkan pada hari ini bukanlah baru malah keputusan juga telah dibuat namun kedua-dua pasukan berkenaan masih gagal mematuhinya.

“Bermula dari barisan pemain dan pegawai Kuantan FA serta Marcerra United  menerima surat tawaran untuk bermain bermula 1 Januari 2018 dan berakhir penghujung 2018 mereka tidak pernah dibayar gaji.

“Pegawai dan pemain komited dengan tanggungjawab diberikan, empat bulan pertama mereka tidak dibayar sebarang gaji dan aduan telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai menghormati kedudukan undang-undang,” jelasnya pada sidang media dipejabatnya hari ini.

Suhail Rahimi berkata, satu mesyuarat telah diadakan dengan kehadiran wakil kelab kedua-dua pasukan serta pemain pada 7 Mei 2018.

“Hasil perbincangan tersebut, Jawatankuasa Status FAM membuat keputusan pada 16 Mei 2018 yang mengarahkan kelab bayar segala tunggakan gaji bekas pemain dan pegawai.

“Kalau kes mahu dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), ia memerlukan kerjasama kedua-dua pihak tetapi dalam kes ini, kita mahu mulakan tetapi pihak di sana tidak. Jika saluran ini tidak berjaya, adakah tuntutan bekas pegawai dan pemain akan terhenti di sini?

“Jadi, kita beri tempoh sehingga 14 hari kepada mereka sebelum kes ini dibawa ke mahkamah kerana kita mahu beri mereka satu lagi peluang. Jika tiada maklum balas  kes terbabit akan dipanjangkan ke mahkamah sivil sekiranya pihak yang bertanggungjawab terus berdegil dan tidak memberi sebarang maklum balas,” tegasnya.

 

 

 

 

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: