Bola Sepak Semasa Terkini

JDT ada segala-galanya


 

Kesempurnaan fasiliti dimiliki JDT sememangnya berkelas dunia.

Oleh : Mohd Fitrie Muhamad

JIKA berbicara tentang Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah pasti semuanya lebih berkisar kepada kesempurnaan dimiliki kelab itu.

Apa tidaknya, bermula daripada sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar aspek dijaga dengan cukup rapi dan tidak hairanlah penampilan mereka pentas domestik khususnya cukup gah hingga dinobatkan juara Liga Super tujuh kali berturut-turut.

Bermula dengan kelab biasa-biasa, kini JDT jelas sudah jauh meninggalkan pesaing mereka dan pelbagai aset sudah pun dimiliki.

Tunku Ismail menjadi figura penting dalam tranformasi Harimau Selatan.

 

FAKTOR TMJ

Kira-kira dua minggu saja lagi pemburuan angka lapan akan bermula dengan aksi Piala Sumbangsih menentang Kedah sebagai debut musim 2021 yang akan dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim, 5 Mac ini.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim nyata menjadi figura penting dalam tranformasi Harimau Selatan hingga dilihat sukar digugat oleh mana-mana pasukan.

Segalanya sudah ‘ditabur’ malah kebajikan pemain sentiasa dijaga rapi. Apa yang dilakukan Tunku Ismail menjadikan tiada lagi sebab untuk pemain tidak pamerkan aksi terbaik.

Safawi pastinya terus menjadi taruhan JDT untuk merobek gawang lawan.

TAHAP PROFESIONAL TINGGI

Seperti yang semua orang tahu, bukan saja kebajikan pemain yang dijaga tetapi urusan kendalian pasukan juga sempurna.

Sejak tranformasi dilakukan, perubahan demi perubahan dilakukan, bukan saja fasiliti, kelengkapan pemulihan pemain, bekalan nutrisi malah segala aspek disediakan dengan sempurna dan profesional seiring dengan keperluan industri itu masa kini.

Malah sejak transformasi dilakukan, tidak timbul sebarang isu berbangkit dan ianya pasti melapangkan minda pemain untuk hanya beri fokus kepada latihan dan pemburuan kejayaan.

Jadi tidak hairanlah jika semua pemain di negara ini mahu ke sana. Semua aspek itu antara tarikan untuk pemain ke JDT dan jika segalanya terus terjaga, maka kejayaan yang diimpikan akan hadir dengan sendiri.

Kemasukan Sumareh dalam keluarga JDT menambahkan sengat pasukan.

PERSEFAHAMAN ANTARA PEMAIN

Jika dilihat kepada pembelian pemain, ia boleh dikatakan pada kadar minima dan ianya dibuat lebih kepada keperluan untuk mengukuhkan beberapa posisi yang dirasakan perlu diperkuatkan.

Ada lagi beberapa pemain yang direkrut seperti Mohamadou Sumareh dan Danial Amier Norhisham malah bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim kembali ke pangkuan memperkuatkan pasukan.

Kombinasi pemain baru dan lama dijangka ‘meletup’ memandangkan majoriti daripada mereka ada sudah mengenali cara permainan masing-masing khususnya bersama skuad kebangsaan.

Kini bola sudah pun di kaki pemain dan sekarang hanya tinggal untuk merencana apa peramcangan taktikal bakal diatur pengendali pasukan, Benjamin Mora.

PEMAIN TUMPUAN

* Safawi Rasid (penyerang)
* Jonathan Herrera (penyerang)
* Safiq Rahim (tengah)
* Syafiq Ahmad (penyerang)
* Gonzalo Cabrera (tengah)
* Mohamadou Sumareh (tengah)
* Danial Amier Norhisham (tengah)

PENCAPAIAN MUSIM LALU 

Juara Liga Super 2020


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: