Bola Sepak Semasa Terkini

Konrad lengkapkan slot import Selangor FC 2021


Konrad melengkapkan slot import bagi musim 2021

PEMAIN tengah Jerman, Manuel Konrad diumumkan secara rasmi sebagai pemain import terakhir pasukan Selangor FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia yang dijadualkan bermula pada awal bulan Mac ini.

Karier remaja beliau bermula pada tahun 2005-2006, di mana beliau menjulang kejuaraan piala German Under-19 Bundesliga South/South-west dengan menjaringkan 12 gol dalam 36 penampilan serta memenangi Kejohanan Bolasepak Jerman B-19 bersama pasukan SC Freiburg B-19 .

Berasal dari wilayah Illertissen, Jerman karier pemain tinggi lampai ini terus meningkat apabila dipanggil mewakili skuad remaja negara kelahirannya untuk pasukan B-19 dan B-20 pada tahun 2006 sehingga 2008.

Pada tahun 2006 juga, Manuel telah diserapkan ke pasukan ‘feeder’ SC Freiburg II setelah mempamerkan aksi yang cemerlang bersama SC Freiburg B-19. Menurut transfermarket.com, beliau telah melakukan 56 penampilan dari 2006 sehingga 2009 bagi pasukan tersebut.

Pemain yang berketinggian 187cm ini juga pernah beraksi di 2. Bundesliga (Liga Divisyen 2 Jerman) bersama pasukan utama SC Freiburg dan berjaya menjulang piala German second tier untuk musim 2008-2009.

Beliau kemudian dipinjamkan ke SpVgg Unterhaching yang bermain di 3. Liga (Divisyen 3 Jerman) untuk pertengahan musim dan kemudian menandatangani kontrak rasmi pada 1 Julai 2009 selama satu musim. Untuk kelab selatan Munich ni, Manuel telah bermain sebanyak 52 perlawanan.

Musim berikutnya, Manuel telah beraksi bersama FSV Frankfurt selama enam musim dari 2010 hingga 2016 dengan mencatat sebanyak 164 penampilan, sekaligus menjadikan penampilan terbanyak dalam karier beliau bagi sesebuah kelab.

Beliau kemudiannya berpindah ke Dynamo Dresden selama dua musim dengan 44 penampilan dan menjaringkan 4 gol dari 2016 hingga 2018.

Sebelum melebarkan sayapnya ke Asia, beliau telah beraksi dalam 65 perlawanan untuk kelab terakhirnya di Jerman iaitu KFC Uerdingen 05 dan merekod satu jaringan gol serta dua bantuan gol sepanjang bersama kelab tersebut.

Matlamat dan falsafah baharu Selangor FC telah menjadi faktor utama Manuel Konrad berhijrah di negara lain setelah beraksi di Jerman sepanjang kerjayanya.

Konrad berkata, apabila kontraknya bersama KFC Uerdingen 05 berakhir dia dihubungi oleh Pengarah Teknikal Selangor FC, Michael Feichtenbeiner serta ketua jurulatih Red Giants, Karsten Neitzel.

“Mereka telah menerangkan tentang matlamat serta falsafah kelab ini dan ia telah memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi pemain penting dalam rancangan mereka.

“Saya yakin Selangor FC dapat bermain dengan cara yang menarik dan bersemangat tinggi dengan falsafah yang dirancang. Ia pasti memerlukan sedikit masa untuk menjayakannya, tetapi jika kita bekerja keras kita mampu melakukan apa sahaja,” katanya dipetik menerusi laman rasmi pasukan Selangorfc.com

Sementara itu, Neitzel memaklukan Konrad atau lebih mesra dengan panggilan Manu merupakan bekas pemainnya di SC Freiburg dan kehadiran beliau dilihat mampu membantu mengukuhkan jentera tengah pasukan.

“Saya telah menyaksikan Manu di SC Freiburg selama dua tahun dan sudah hampir 12 tahun berlalu. Saya yakin kemampuan dan kebolehan beliau mampu menguatkan pasukan Selangor FC bersama pemain-pemain lain.

“Beliau seorang pemain yang serba boleh terutamanya di pertahanan tengah. Beliau juga tidak dinafikan memiliki susuk fizikal bagus dan mempunyai semangat berpasukan yang baik.

“Saya yakin apabila dia mencapai 100 peratus tahap kecergasan, beliau akan menunjukkan prestasi maksimumnya di padang,” jelasnya.

Manuel Konrad merupakan pemain terakhir mengisi slot import bagi musim 2021 yang diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor FC memperkenalkan Shahrel Fikri, Tim Heubach, R. Dinesh, Nik Sharif dan Oliver Buff sebelum ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: