SELAGI hayat dikandung badan.
Itulah gambaran semangat waja pemain veteran tempatan, Amri Yahyah yang masih kekal gagah bermain dalam kempen Liga Malaysia musim ini.
Amri bersama N. Thanabalan telah diumumkan pemain baharu skuad Sabah FC sekali gus memberikan suntikan moral terbaik kepada pasukan bimbingan Kurniawan Dwi Yulianto mengharungi Liga Super 2021.
Sabah menjadi kelab kelima buat Amri di mana pemain berusia 40 tahun ini memulakan kariernya bersama Selangor pada tahun 2001 dan menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2014 sehingga 2016, Melaka United (2017) dan kembali ke pangkuan ke Selangor (2017-2019) sebelum berhijrah ke Sarawak United FC pada tahun lalu.
Ketika ditanya CAKAPSUKAN mengenai perancangannya pada masa akan datang, Amri menegaskan beliau masih memiliki keinginan tinggi untuk terus bermain sebagai pemain bola sepak profesional selain falsafah Kurniawan telah berjaya menyakinkannya untuk datang menyertai Sabah FC.
Jelas Amri yang belum memberikan bayangan sama ada menjadi jurulatih pada suatu hari nanti, beliau mahu fokus membantu Sabah FC dengan memberikan yang terbaik biarpun menyedari terpaksa bersaing dengan pemain-pemain muda berbakat untuk merebut kesebelasan utama.
Apa yang mustahak Amri memberitahu keinginan untuk terus mendakap piala masih membara biarpun telah memenangi trofi Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala Malaysia termasuk Piala AFC bersama JDT pada tahun 2015.
“Saya mahu bermain (bola sepak) selagi ada daya. Itulah yang misi saya mengapa saya masih kekal bermain dalam Liga Malaysia.
“Saya tertarik dengan falsafah jurulatih di mana beliau mempraktikkan corak permainan yang pantas dan itulah sebab saya datang menyertai Sabah.
“Seperti saya katakan tadi, saya tetap mahu bermain biarpun saya dikatakan telah berusia tetapi saya tidak akan berputus asa untuk bersaing dengan pemain-pemain muda yang lain dalam kesebelasan utama nanti.
“Saya berharap berbekalkan pengalaman sedia ada ini dapat membantu pasukan Sabah FC untuk melakarkan kegemilangan kami sendiri.
“Apa yang pasti, keinginan saya untuk terus menang piala tidak akan sesekali padam biarpun saya telah menikmati pelbagai kejayaan sepanjang saya bermain dengan kelab-kelab dalam karier saya,“ katanya kepada CAKAPSUKAN.
Dalam masa yang sama, Amri menegaskan beliau juga masih menaruh harapan untuk menyertai skuad Harimau Malaya jika diberikan peluang.
“Begitu juga dengan pasukan kebangsaan jika pintu (peluang) itu ada, saya tidak akan menolak dan masih bersemangat untuk menyarungkan jersi skuad Harimau Malaya.
“Ini kerana bermain untuk pasukan kebangsaan adalah satu penghormatan cukup tinggi dan saya tidak akan menolak jika diberikan peluang itu,” katanya.
Add Comment