Bola Sepak Terkini

Impak jersi memberi aura kepada peminat


Oleh : Mohd Fitrie Muhamad

SELEPAS penantian lama, Liga Malaysia (Liga M) dijangka akan membuka tirainya 5 Mac ini dan baki tempoh yang ada hanyalah kurang dua minggu saja lagi.

Selepas kelonggaran diberikan oleh pihak kerajaan, seluruh pasukan pasti berada dalam keadaan fokus untuk memastikan mereka benar-benar bersedia untuk memulakan aksi pertama.

Gerak kerja sampingan juga giat dilakukan dan seperti biasa, sebelum sepak mula Liga M, perang jersi juga antara perkara menarik disaksikan.

Namun, persaingan ini belum ada sebarang keputusan muktamad boleh dibuat kerana majoriti pasukan masih berahsia bagaimana rupa sebenar jersi yang akan digunakan nanti.

Ironinya, pengenalan jersi yang bakal digunakan pasukan bertanding juga turut menjadi ‘penambah perisa’ kepada keunikan dan warna warni saingan Liga M.

Bagaimanapun, ketika usaha memutuskan rantaian Covid-19, kelainan yang diserlahkan kali ini sudah pasti menjurus kepada pelancaran secara atas talian, berbeza berbanding sebelum ini pengenalan dibuat secara fizikal.

Selangor muncul pasukan Liga Super terawal, mengumumkan jersi ‘home’ untuk digunakan musim 2021 dan corak digunapakai menginspirasikan kit yang digunakan pasukan itu ķetika menjulang Piala Malaysia 1986.

Ia bukan sekadar persalinan biasa-biasa kerana idea retro yang diketengahkan turut membawa aura sang juara, arwah Mokhtar Dahari dan sejak ia mula dilancarkan, sambutan penyokong setia Merah Kuning cukup hebat.

Sehingga kini Selangor hanya melancarkan jersi ‘home’ namun bagi ‘away’ dan jersi ketiga masih belum didedahkan kepada umum.

Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pula dijangka memperkenalkan kit baru mereka 24 Februari ini manakala pencabar lain belum ada sebarang tarikh rasmi untuk melancarkan jersi masing-masing.

Daripada perkembangan semasa yang dimuatnaik menerusi laman sosial pasukan, ketika ini Melaka United hanya memperkenalkan pra musim tajaan AL Sports dan turut menjanjikan kelainan bakal diterjemahkan pada jersi rasmi yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Untuk pasukan Liga Premier, selain Selangor II yang dijangka akan memakai jersi sama dengan apa yang dipakai skuad ‘abang”, hanya Kelantan FC yang sudah melancarkan kit rasmi secara lengkap, membabitkan tiga variasi warna.

Kelantan United FC (KUFC) pula akan memakai kelengkapan jenama Umbro tajaan Al-Ikhsan namun ketika ini hanya kit latihan dikeluarkan dan belum memperkenalkan jersi rasmi yang akan digunakan pada hari perlawanan.

Begitu juga dengan Negeri Sembilan yang akan menggunakan jenama KakiJersi, belum ada sebarang pengumuman rasmi bagaimana identiti sebenar jersi yang akan digunapakai ketika perlawanan dan ketika ini pengeluar barangan sukan tempatan itu hanya memperkenalkan kit latihan serta jersi pengenalan pemain.

Bagi Kuala Lumpur United FC pula majlis pelancaran jersi baharu akan diadakan hari ini manakala UitmFC difahamkan 23 Februari  disusuli PDRM FC pada 26 Februari nanti.

Bila dan bagaimana jersi yang akan diperkenalkan pasukan bertanding, sama-sama kita nantikan.

 

 

 

 

 

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: