Antarabangsa Badminton Semasa Terkini

Vaksinasi buat Skuad badminton Indonesia


Mohamad Ahsan/ Hendra Setiawan

 

SKUAD badminton Indonesia ke Terbuka Switzerland dan All England bulan depan dijangka menerima suntikan vaksin Covid 19 sebelum mereka berangkat ke negara berkenaan.

Seandainya permintaan Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) dipenuhi kerajaan republik itu, pemain dijangka menerima vaksin tersebut sebelum 25 Februari iaitu tarikh keberangkatan mereka ke Eropah.

Permintaan mendapatkan vaksin itu dibuat penolong Setiausaha Agung PBSI, Edi Sukarno sewaktu mesyuarat bersama Kementerian Pemuda dan Olahraga, siang tadi.

Mesyuarat yang diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom Meeting itu membahaskan mengenai pemberian vaksin bagi atlet berprestasi, termasuk badminton.

Ia dihadiri Setiausaha Kementerian, Gatot S. Dewa Broto, wakil-wakil dari Komite Olimpiade Indonesia (KONI), Kementerian Kesihatan serta persatuan-persatuan sukan.

“Saya mencadangkan agar bukan sahaja atlet yang berangkat ke kejohanan luar sahaja menerima vaksin tetapi juga mereka yang ada dalam kem latihan turut menerimanya.

“Selain itu, saya turut mencadangkan pegawai, jurulatih, pasukan sokongan juga diberikan vaksin tetapi ia pasti sulit.

“Keutamaan tentunya kepada atlet dan jurulatih terutama yang akan berangkat menyertai kejohanan,” katanya seperti dipetik daripada laman sesawang PBSI.

Marcus Gideon/ Kevin Sanjaya

 

PBSI akan menghantar pemain ke Terbuka Switzerland yang berlangsung dari 2-7 Mac diikuti All England 17-21 Mac.

Sewaktu tiga kejohanan dalam gelombong sukan di Bangkok bulan lalu, beregu lelaki handalan republik itu, Kevin Sanjaya-Marcus Gideon terpaksa menarik diri.

Ini berikutan Kevin disahkan positif Covid 19, sekali gus mengetepikan dua kejohanan Terbuka Thailand serta pusingan akhir Jelajah Dunia.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: