
Oleh : Fitrie Muhamad
KELONGGARAN melakukan aktiviti sukan dan rekreasi diberikan kerajaan menghadirkan kelegaan buat pengusaha fasiliti sukan untuk menjana semula pendapatan.
Namun begitu, terdapat protokol ketat khususnya larangan kepada aktiviti yang melibatkan sentuhan fizikal dan meminimakan interaksi sosial, sekali gus menuntut penyelia premis memastikan bilangan pengunjung yang terhad serta kawalan lebih ketat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata kepada CAKAPSUKAN, prinsip yang paling utama ketika PKP 2.0 ini ialah mengurangkan pergerakan yang tidak perlu bagi mengekang penularan jangkitan Covid 19 dalam komuniti ketika ini.
Ahmad Shapawi berkata jika aktiviti sukan jadi keperluan, ia menjadi tanggungjawab semua memastikan SOP ditetapkan kerajaan boleh diikuti dengan baik
“Timbul sedikit kekeliruan dan ramai yang bertanya bagaimana mahu bermain bola sekiranya hanya aktiviti individu atau berseorangan sahaja dibenarkan. Sebenarnya, kita harus ingat bahawa PKP 2.0 adalah untuk meminimakan pergerakan bagi mengelakkan 3S ( Sesak, Sempit dan Sembang Dekat ) berlaku di kalangan masyarakat.
“Kerajaan membenarkan aktiviti sukan dan rekreasi oleh penggiat sukan berpasukan seperti bola sepak adakah bertujuan kesihatan, kecergasan dan meningkatkan kemahiran kendiri tanpa perlu 3S dan persentuhan fizikal berlaku.
“Paling utama adalah kawalan penyeliaan sepanjang operasi dan latihan kemahiran kendiri dengan mengamalkan penjarakan fizikal. Untuk aktiviti yang melebihi dua orang, ia juga dibolehkan dengan syarat kapasiti maksima dalam satu masa adalah 30 peratus daripada keluasan premis,” katanya.
Sebelum ini, timbul keluh kesah yang mengatakan SOP dikeluarkan sebagai pelik khususnya untuk acara berpasukan dilakukan secara persendirian.
Namun berdasarkan SOP yang dikeluarkan, tiada sekatan khusus untuk sebarang aktiviti latihan selagi mengikut penjarakan fizikal di premis atau pun venue adalah adalah 1 hingga 2 meter manakala penjarakan fizikal semasa aktiviti adalah 1m hingga 3m untuk aktiviti statik dan 3m ke 5m bagi aktiviti dinamik.
Ahmad Shapawi berkata keputusan untuk tidak membenarkan sentuhan fizikal mempunyai asas bagi mengelak penularan Covid-19 memandangkan ada kes yang dijangkiti langsung tidak ada gejala.
“Saya sarankan agar semua pihak memahami dengan jelas dan mematuhi SOP Sukan dan Rekreasi yang boleh dirujuk ke laman sesawang KBS,” katanya.
Add Comment