Bola Sepak Semasa Terkini

Sabah FC bukan sekadar pelengkap jadual Liga Super


 

Oleh : Subkhi Sudarji

PENGENDALI Sabah Football Club (FC), Kurniawan Dwi Yulianto menegaskan Liga Super menjadi keutamaan pasukan bimbingannya menjelang sepak mula Liga Malaysia yang bakal membuka tirai pada 5 Mac depan.

Lebih tepat, Kurniawan mendedahkan pasukan yang dikenali nama jolok Sang Badak itu tidak berminat untuk menjadi sekadar pelengkap jadual Liga Super bagi kempen 2021.

Musim lalu, Sabah FC masih berjaya mengekalkan kedudukan dalam kelompok liga elit negara selepas menduduki tangga ke-10 dalam saingan Liga Super.

Bagaimanapun prestasi Sang Badak menimbulkan tanda tanya selepas sekadar meraih sembilan mata sepanjang 11 perlawanan di mana hanya dipisah dua mata dengan pasukan kedua tercorot, Felda United dan 10 mata dengan pasukan tercorot, PDRM.

Kurniawan Dwi Yulianto

 

Mengulas lanjut, Kurniawan kini sedang giat mengatur ‘resepi’ kejayaan terbaik buat Sabah FC di mana bekas pemain PSM Makassar dan Sarawak itu optimis kombinasi di antara pemain pengalaman dan pemain muda mampu memberikan sesuatu kepada pasukan bimbingannya.

Jelas lagi pengendali berusia 44 tahun itu, beliau mengharapkan Sabah FC dapat mempamerkan satu persembahan lebih bertenaga sekali gus bangkit daripada prestasi mengecewakan pada musim lalu.

“Saya mahukan pasukan yang dibarisi (pemain) pengalaman dan (pemain) muda.

“(Pemain) pengalaman sangat diperlukan kerana dia boleh membimbing pasukan selain memiliki kesesuaian dengan apa jua keperluan jurulatih.

“Ini kerana bermain dalam Liga Super adalah peringkat yang cukup berbeza di mana Sabah bukan hanya tampil untuk melengkapkan jadual semata-mata.

“Saya berasa berbesar hati apabila pemain-pemain tempatan yang kaya pengalaman seperti Amri Yahyah termasuk N Thanabalan datang percubaan bersama Sabah FC pada minggu depan dan saya ingin mengesahkan ada beberapa dua tiga nama pemain tempatan yang akan menyertai Sabah FC.

“Kami cukup serius dengan sasaran kami dan saya percaya musim ini adalah masa terbaik untuk mengembalikan lagi kegemilangan buat bola sepak Sabah,” katanya kepada CAKAPSUKAN.

Saddil Ramdani.

 

Sementara itu, Kurniawan juga mengakui beliau gembira dengan kejayaan Sabah FC menyambar khidmat pemain Indonesia, Saddil Ramdani.

Saddil pernah bekerjasama di bawah Kurniawan ketika beliau menjadi penolong ketua jurulatih Indonesia pada aksi Sukan SEA dan Piala AFF sepanjang dua tahun lalu.

Saddil bukan nama asing buat peminat-peminat bola sepak Malaysia lepas pemain berusia 22 tahun itu telah bermain bersama pasukan Pahang (kini dikenali Sri Pahang FC) pada musim 2019.

“Saya sangat gembira kerana Sabah FC telah berjaya mendapatkan khidmat Saddil pada musim ini. Memang kami mahukan pemain ini sejak tahun lalu tetapi malangnya gagal berbuat demikian.

“Musim ini saya tetap berusaha untuk membawanya dan akhirnya ia berjaya,” ujarnya.

Selain Saddil , Sabah FC juga diperkuatkan dengan bintang import pertahanan dari Korea Selatan, Park Tae Su yang dikekalkan musim lalu selain membawa masuk pemain kebangsaan Gabon, Levy Madinda yang beraksi diposisi tengah.

Turut membarisi Sabah FC bagi mengharungi musim 2021 ialah pertahanan tinggi lampai dari Macedonia yang merupakan bekas pemain FC Alashkert,  Risto Mitrevski dan bekas penyerang antarabangsa Liberia, Sam Johnson.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: