
Oleh Fitrie Muhamad
BERBICARA tentang UiTM FC, perkara pertama yang terlintas mungkin menjurus kepada kejutan yang sering dilakukan pasukan itu.
Menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga M) musim 2021, UiTM FC bakal berkeseorangan, menjadi wakil tunggal membawa cabaran institut pengajian tinggi di pentas tertinggi bola sepak negara.
Dilihat kepada pencapaian lalu, pengendali pasukan, Frank Bernhardt berjaya memacu pasukan menghuni tangga keenam Liga Super dan ke suku akhir Piala Malaysia.
SUKAR DIRAMAL
Jika diukur kepada jumlah wang yang dibelanjakan, ia mungkin meletakkan The Lion Troops di tangga lebih bawah berbanding pencabar lain.
Ia sekali gus mengheret tumpuan kepada pasukan hebat lain namun rekod tidak pernah menipu yang UiTM FC pun bukanlah pasukan biasa-biasa dan mampu cipta kejutan.
Nyata walaupun berstatus ‘Budak U’ tetapi mereka cukup sukar diramal dan berbekalkan keazaman serta kemahuan yang tinggi, kejutan berjaya terhasil.
Lihat saja kepada keputusan mereka musim lalu yang menyaksikan mereka berjaya menewaskan Pahang (1-0) dan Terengganu (2-1) malah berjaya mengikat Kedah (1-1) serta Selangor (3-3).

MAHU BERI CABARAN
Sekali pun hilang khidmat import, Rabih Ataya yang berhijrah ke Kedah Darul Aman FC (KDA FC), UiTM FC tidak melihat ia sebagai penamat sebaliknya terus mahu terbang tinggi.
Hasilnya, Bernhardt berjaya yakinkan bekas import Pahang dan Kelantan, Adam Reed serta Abou Bakr El Mel untuk sertai pasukan selain mengekalkan Victor Nirennold.

Selain itu, UiTM FC turut membawa masuk penyerang berpengalaman, Mohd Khairul Izuan Rosli dari Kelantan United.
Selain itu, UiTM FC turut mengekalkan beberapa nama dari musim lalu seperti Azfar Arif, Azam Jais, Muhammad Afif Asyraf, Muhamad Faizal, Ahmad Khuzaimi Piee, Muhamad Nazshran Elias, Mohd Syafiq Alhafiz, Muhamad Nazirul Hasfh dan Muhamad Rafie.
PEMAIN TUMPUAN
* Victor Nirennold (pertahanan)
* Abou Bakr El Mel (penyerang)
* Mohd Khairul Izuan Rosli (penyerang)
PENCAPAIAN MUSIM LALU
Keenam Liga Super 2020
Add Comment