
TEMPOH tiga tahun mendatang cukup penting bagi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melihat benih yang disemai mereka khususnya dalam skuad pelapis mampu dituai untuk mendukung cabaran di Sukan Olimpik 2024.
Ukuran paling awal bagi pemain-pemain yang dilatih Datuk Misbun Sidek tentunya sama ada mampu sekurang-kurangnya duduk sama tinggi dengan skuad senior sedia ada yang diterajui Lee Zii Jia.
Ketika ini barisan senior yang berada dalam Projek 2024, rata-rata berusia dalam pertengahan 20-an, sekali gus meletak tanda aras yang perlu dikejar oleh anak didik Misbun.
Sentuhan Midas daripada Misbun sememangnya dinantikan oleh peminat badminton tempatan. Bagi mengejar tanda aras yang ditinggalkan Datuk Lee Chong Wei agak terlalu tinggi, jadi lebih realistisk untuk mereka mengejar Zii Jia.

Namun sebelum dapat mengimpikan tempat Zii Jia, masih ada beberapa remain seperti Cheam Jun Wei, Lim Chong King, Leong Jun Hao, Ng Tze Yong dan Aidil Sholeh Ali Sadikin, menanti mereka.
Bagi cabaran di beregu lelaki, nama-nama yang perlu ditentang adalah Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei, Nur Izzudin Rumsani, Low Hang Tee, Man Wei Chong, Ng Eng Cheong, Chia Weijie, Choong Hon Jian, Chang See Jun dan Tee Kai Wun.
Antara pemain perseorangan pelápis ketika ini adalah Lee Shun Yang, Justin Hoh, Wyman Goh, Jacky Kok manakala beregu lelaki pula terdiri daripada Muhd Haikal Nazri, Wan Muhd Arif, Choi Jian Sheng, Wong Ven Sean, Beh Chun Meng dan Goh Boon Tze.
“Sebenarnya tempoh sehingga 20204 sangat penting untuk BAM melihat sama ada usaha kita membimbing semua pemain dari peringkat umur bawah 13 tahun mampu membuahkan hasil.
“Kita sedia maklum BAM sudah mengambil allh barisan pemain dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) untuk dikumpulkan di bawah satu bumbung di ABM (Akademi Badminton Malaysia).
“Ini bermakna semua tanggungjawab kini ada di bawah BAM. Dulu orang hanya melihat BAM hanya mengambil pemain dari SSBJ sahaja yang berada di bawah Kementerian Pendidikan,” kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh kepada CAKAPSUKAN.
Namun untuk memastikan skuad pelapis ini mampu menggalas tugas di masa hadapan, pendedahan buat mereka tetap diperlukan.
Tidak kiralah sama ada di peringkat remaja atau pun pertandingan peringkat bawahan di pentas senior seperti Siri Antarabangsa dan Cabaran Antarabangsa serta Grand Prix.
Bagaimanapun, ketika dunia terus dibelenggu pandemik Covid 19 yang menyaksikan banyak kejohanan terpaksa dibatalkan, BAM perlu melakukan sesuatu agar pemain ini tidak mengalami kebosanan berlatih sahaja.
Setakat ini, hanya ada kejohanan domestik sesama sendiri untuk skuad ini, sesuatu yang pastinya kurang menarik kerana berdepan rakan yang sama yang ditemui setiap hari.
Perlu ada pendekatan yang kreatif bagi memastikan semangat dan keghairahan pemain terus dapat dikekalkan agar sentiasa bersedia setiap kali gendang perang dipalu.
Add Comment