Bola Sepak Semasa Terkini

Berbelanja ikut kemampuan


Datuk Ong Kim Swee

PENGURUSAN kelab bola sepak di negara ini dinasihatkan agar berbelanja mengikut kemampuan berdasarkan peruntukkan yang diperoleh untuk mengelak berdepan masalah kewangan terutama sepanjang tempoh negara berdepan dengan pandemik COVID-19.

Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Ong Kim Swee berkata dalam tempoh itu, industri bola sepak negara tidak dapat dijalankan sepenuhnya sekali gus memberi kesan kepada aspek penajaan yang menjadi salah satu sumber kewangan utama kebanyakan kelab.

“Apabila pasukan tidak dapat beraksi sepenuhnya, penaja tidak datang, sekali gus menyebabkan masalah kewangan kepada kelab terlibat kerana untuk beraksi memerlukan perbelanjaan yang besar.

“Situasi ini juga akan meninggalkan kesan terhadap prestasi pemain kerana ia juga melibatkan isu pembayaran gaji,” katanya sempena sambutan Tahun Baharu Cina, dirumahnya.

Kim Swee yang juga Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PBJM), turut menyarankan agar pengurusan kelab mencari sumber kewangan lebih kukuh dan tidak bergantung sepenuhnya kepada penajaan agar operasi dapat dijalankan lebih lancar.

Mengulas tentang sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) pada Mac ini, beliau yakin semua pasukan terlibat telah bersedia dari segi mental dan fizikal serta mempunyai misi dan perancangan taktikal tersendiri untuk mempamerkan aksi cemerlang musim ini.

“Saya percaya jurulatih dan pemain mempunyai program mereka sendiri dan mereka telah melakukan latihan yang secukupnya di tempat yang dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam tempoh COVID-19 ini,” katanya.–Bernama–


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: