Bola Sepak Semasa Terkini

MFL kemukakan permohonan dapatkan Vaksin Covid-19


Dato’ Ab Ghani Hassan

 

SUBKHI SUDARJI

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengemukakan permohonan bagi mendapatkan suntikan Vaksin Covid-19 untuk diberikan kepada semua pemain dan pengurusan yang terbabit dalam penganjuran kejohanan Liga Malaysia 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata kepada CAKAPSUKAN,  ketika ini MFL sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian  Sains, Teknologi dan Inovasi mengenai hasrat badan pengendali induk bola sepak tempatan ini.

“Ada perancangan ke arah itu bagi memastikan semua pemain dan pengurusan mendapat suntikan vaksin berkenaan.

“Saya sendiri telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai hasrat ini.

“YB Khairy Jamaluddin mengambil maklum akan permintaan ini dan akan mempertimbangkannya demi kebaikkan bersama,” katanya.

Sebelum ini, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata kerajaan mensasarkan 70 peratus atau 23 juta rakyat Malaysia akan diberikan vaksin.

Turut dilaporkan ialah vaksin Pfizer-BioNTech yang akan diterima Malaysia akhir Februari ini sudah diberi kelulusan bersyarat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM).

Selain Malaysia, 49 negara lain turut memberi kelulusan dan ada sebahagian daripada negara itu sudah mula menggunakan vaksin berkenaan.

Untuk rekod, vaksin Pfizer juga menjadi vaksin Covid-19 yang pertama mendapat perakuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk kegunaan kecemasan.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: