Bola Sepak Komentar Semasa Terkini

TERIMA KASIH SEMUA….


OLEH MOHD FARIQ

PERKHABARAN gembira yang dinantikan-nantikan akhirnya kunjung tiba.

Ini kerana pihak kerajaan telah membenarkan kejohanan atau aktiviti sukan antaranya bola sepak dijalankan mengikut Standard Operasi Prosedur (SOP) yang ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Petang tadi pihak kerajaan bersetuju membenarkan program latihan berpusat bagi pasukan-pasukan dalam Malaysian Football League (MFL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) bermula Isnin ini iaitu 15 Februari.

Tempat latihan dan pergerakan atlet atau pemain adalah terkawal mengikut model gelembung sukan di mana penginapan atlet atau pemain perlu mengikut SOP mengikut Camp Quarantine dan Home Quarantine yang telah ditetapkan.

Pertama, penulis mahu mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang telah berjuang untuk hak bola sepak tempatan terutama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Tanpa dinafikan lagi kita semua dapat melihat Datuk Seri Reezal Merican telah menjadi pengantara kepada industri sukan Malaysia dengan pihak kerajaan dalam memastikan sukan-sukan dapat diteruskan selaras amalan SOP yang ditetapkan.

Sekali lagi, TERIMA KASIH – DATUK SERI REEZAL MERICAN.

Datuk Hamidin Mohd Amin

Dan juga, terima kasih kepada Datuk Hamidin Amin, President Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga yang tidak pernah putus asa untuk pastikan bolasepak kembali.

Secara peribadi, penulis menganggap ini adalah satu kejayaan cukup besar buat semua selepas berjaya ‘menyelamatkan’ Liga Malaysia bagi musim 2021 dibatalkan.

Umum mengetahui bahawa sukan bola sepak cukup dekat di hati rakyat Malaysia dan kebenaran daripada pihak kerajaan untuk menjalankan kejohanan domestik sekurang-kurangnya dapat mengubati duka lara mereka sepanjang tempoh PKP.

Penulis sempat meninjau di laman sosial di mana sebahagian besar cukup menanti-nantikan tirai Liga Malaysia dibuka kembali.

Tersemat rasa bangga penulis apabila mereka lebih teruja ‘bergosip’ tentang perkembangan liga tempatan berbanding liga luar negara sekali gus membuktikan bola sepak Malaysia sebenarnya memiliki tapak penyokong yang cukup kuat.

Biarpun mereka tidak dapat turun ke stadium sudah setahun tetapi sokongan padu masih diberikan dan inilah sikap yang patuh dicontohi di mana penulis optimis Liga Malaysia musim 2021 tetap meriah serta dramatis biarpun tanpa kelibat penyokong.

KELAB PIKUL TANGGUNGJAWAB BARISAN TUGAS HADAPAN

Kini kelab-kelab memainkan peranan penting untuk memastikan tiada sebarang penularan wabak Covid-19 berlaku selepas aktiviti bola sepak telah pun dibenarkan oleh pihak kerajaan.

Bagaimanapun penulis percaya setiap kelab-kelab Liga Malaysia tetap memberikan komitmen tinggi sebagaimana mereka berjaya lakukan pada musim 2020 iaitu tiada sebarang kluster berlaku sepanjang penganjuran tahun lalu.

Namun dalam masa yang sama kita tidak boleh bergantung pada kejayaan lalu di mana penulis berpendapat bukan sahaja kelab tetapi kesemua yang berada dalam industri bola sepak perlu kekal lebih berdisiplin.

Ini kerana mesejnya adalah pihak yang berada dalam industri bola sepak tidak boleh mengsia-siakan kebenaran yang telah diberikan oleh pihak kerajaan.

Sentiasa patuhi setiap SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan paling mustahak Liga Malaysia harus menjaga kesucian tersendiri dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

USAHA DAN PILIHAN BAKAL MEMBERIKAN JAMINAN

Seperti penulis katakan di atas, sikap bertanggungjawab dan disiplin bakal menjadi pokok pangkal perjalanan Liga Malaysia bagi musim 2021.

Bermain dalam tempoh pandemik Covid-19 tidak bermakna untuk mengingkari arahan PKP sebaliknya ini adalah kelangsungan survival bola sepak negara sendiri.

Seperti kata pepatah, yang lama dikelek, yang baharu didukung.

Akhir kata daripada penulis, pandemik Covid-19 adalah satu perkara cukup serius tetapi memiliki pilihan membuatkan kita lebih berpuas hati dalam memastikan rantaian wabak ini dapat diputuskan selaras amalan SOP.

**Mohd Fariq mempunyai pengalaman sebagai penulis bolasepak lebih 25 tahun


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: