
PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menyebut tahap permainan Dean Henderson semakin berkembang.
Henderson dikatakan sudah tak sabar untuk membuktikan kemampuan sejak kembali ke Old Trafford pada awal musim 2020/2021 selepas dipinjamkan Ke Sheffield United selama dua tahun.
Namun, penjaga gawang berusia 23 tahun itu masih belum boleh merampas posisi David de Gea sebagai No 1 di Manchester United.
Untuk rekod, Henderson telah beraksi 10 perlawanan dan dua kali bermula dalam kesebelasan utama.
Kebetulan, prestasi De Gea dipersoalkan ketika The Red Devils seri 3-3 bertemu Everton.
Timbul desakan kepada Ole Gunnar Solskjaer mencadangkan David de Gea direhatkan dan memberi ruang kepada Henderson menunjukkan bakat.
“Dean bermain bagus apabila diberikan tempat. Dia matang dan pada saya dia sudah mengembangkan permainannya.
“Saya tahu dia tidak banyak bermain seperti musim lalu, tapi anda dapat lihat perkembangannya di setiap pertandingan dan latihan,” ujar Solskjaer seperti dipetik Sky Sports.
Manchester United akan menghadapi West Ham United dalam pusingan kelima Piala FA, awal pagi esok dan Henderson dijangka diturunkan dalam skuad utama.
Add Comment