MOHD FITRIE MUHAMAD
ENTAH mana kurangnya, kecenderungan pasukan Liga Super dilihat lebih terarah kepada melantik jurulatih import untuk mengendalikan pasukan untuk saingan 2021.
Ketika ini, daripada 12 pasukan Liga Super, hanya tiga pasukan sahaja yang bakal dikemudi jurulatih tempatan iaitu Nafuzi Zain (Terengganu FC), P Maniam (PJ City) dan Zainal Abidin Hassan (Melaka United).
Bagaimanapun, Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata untuk melihat trofi sebagai satu-satunya tanda aras adalah sesuatu yang tidak adil buat jurulatih tempatan.
“Tidak bolehlah kalau kita nak jadi juara baru boleh katakan jurulatih kita bagus. Kita kena tengok juga set pemain yang pasukan ada.
“Kalau kita tengok jurulatih macam Nafuzi, memang dia patut dipuji. Begitu juga dengan Yusri Che Lah.
“Ketika pasukan dihimpit masalah gaji, dia (Yusri) berjaya atasinya dengan baik dan masih mampu kekalkan Kelantan di Liga Premier. Mungkin kalau jurulatih luar, ia sebaliknya,” katanya.
Daripada sudut positif, ia mungkin menunjukkan pasaran Liga Malaysia mula mendapat sambutan jurulatih luar negara.
Disebalik kegusarannya terhadap peluang jurulatih tempatan, Sathianathan berpendirian tidak menutup pintu terhadap jurulatih luar jika individu berkenaan benar-benar layak.
“Membimbangkan tetapi bukan saya bermaksud tidak boleh langsung jurulatih luar melatih pasukan tempatan. Kalau dia benar-benar bagus, kita alu-alukan kerana secara tidak langsung ia meningkatkan bola sepak kita.
“Contohnya Benjamin Mora, dia sudah terbukti dan kita tidak boleh nafikan kemampuannya itu,” katanya.
Senarai jurulatih Liga Super
1. JDT – Benjamin Mora (Mexico)
2. Selangor FC- Karsten Neitzel (Jerman)
3. Kedah Darul Aman FC – Aidil Sharin Sahak (Singapura)
4. Sri Pahang FC – Thomas Dooley (Amerika Syarikat)
5. Perak FC – Mehmet Durakovic (Australia)
6. UiTM – Frank Bernhardt (Jerman)
7. Kuala Lumpur United – Bojan Hodak (Croatia)
8. Sabah FC – Kurniawan Dwi Yulianto (Indonesia)
9. Penang FC – Tomas Trucha (Republik Czech)
10. PJ City FC – P Maniam (MALAYSIA)
11. Terengganu FC – Nafuzi Zain (MALAYSIA)
12. Melaka United FC – Zainal Abidin Hassan (MALAYSIA)





Add Comment