Antarabangsa

Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023; Malaysia, Thailand dan Indonesia setuju UAE jadi tuan rumah


Mohd Yusoff memaklumkan Malaysia bersama Indonesia dan Thailand melihat UAE venue paling sesuai untuk baki saingan kejohanan secara karnival.

MALAYSIA bersama Thailand dan Indonesia mencapai kata sepakat yang bersetuju supaya baki saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 dilangsungkan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) secara karnival pada Jun depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, hanya Vietnam selaku pendahulu Kumpulan G merupakan satu-satunya pasukan yang belum memberikan kata putus.

“Kami berharap supaya Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dapat bersetuju kerana majoriti pasukan telah menyatakan persetujuan untuk ditangguhkan ke bulan Jun.

“Hanya Vietnam saja belum. Jadi AFC boleh mengambil kira faktor majoriti ini untuk dijadikan panduan dalam membuat keputusan,” katanya.

Mohd Yusoff yang juga merupakan pengurus pasukan kebangsaan memaklumkan, FAM kini hanya menunggu keputusan akhir daripada AFC berhubung perkara berkenaan sebelum boleh merangka perancangan buat pasukan negara termasuk memuktamadkan sesi kem latihan pusat skuad kebangsaan.

“UAE lebih banyak beraksi sebagai pasukan pelawat sebelum ini dan berdasarkan keadaan semasa, tiga daripada empat baki perlawanan mereka akan bermain sebagai tuan rumah, jadi sebab itu kita pun setuju kalau bulan Jun karnival diadakan di UAE,”jelasnya.

UAE dijadual berdepan Malaysia, Thailand dan Vietnam di laman sendiri sementara menjadi pasukan pelawat menentang Indonesia dalam melengkapkan keseluruhan baki empat perlawanan Kumpulan G saingan kelayakan itu manakala Vietnam hanya mempunyai satu perlawanan sebagai pasukan tuan rumah menentang Indonesia dalam baki tiga perlawanan.

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: