Bola Sepak Komentar Terkini

“NAK BERLATIH DI JOHOR, MKN MENANTI SURAT FAM “


EKSKLUSIF Oleh : MOHD FARIQ

MENTERI Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh mengemukakan permohonan untuk menjalani sesi latihan berpusat secara kuarantin di Johor untuk skuad Harimau Malaya sekiranya mahu berpindah dari Majlis Sukan Negara (MSN).

Jelas Ismail Sabri, FAM juga perlu menghantar surat kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membawa pasukan kebangsaan ke Johor jika mendapati MSN tidak sesuai bagi mereka.

“Kita boleh bawa permohonan itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) nanti jika semua ikut Standard Operasi Prosedur (SOP).

“Semua permohonan daripada mana-mana kementerian akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal yang diwakili MKN dan KKM.

“Jika melibatkan sukan, KBS akan bentang permohonan dalam mesyuarat itu dan selepas Jawatankuasa Teknikal bersetuju, MKN kemudiannya akan bentang keputusan Jawatankuasa Teknikal ke sidang khas MKN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jika setuju (permohonan), keputusan mesyuarat saya akan umumkan,” katanya kepada CAKAPSUKAN hari ini.

Terdahulu, perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung pada Mac ini di jangka akan ditunda pada Jun depan atas permintaan beberapa pasukan.

Perkara itu disahkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang turut memberitahu tiga daripada lima negara yang bertanding meminta aksi kelayakan tersebut ditunda.

Harimau Malaya sebelum ini telah mendapat pelepasan untuk mengadakan latihan pusat secara gelembung sukan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di MSN, Bukit Jalil.

Bagaimanapun, beberapa pihak menyarankan skuad kebangsaan membuat permohonan untuk menjalani sesi latihan pusat milik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang serba lengkap serta mematuhi garisan SOP yang dimahukan oleh KKM dan KBS.

Latihan pusat skuad kebangsaan sepatutnya bermula 10 Januari lalu tetapi dibatalkan selepas Selangor tersenarai antara negeri di bawah PKP yang bermula 13 Januari lalu akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe diberikan pelepasan mengadakan sesi latihan pusat apabila Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mendedahkan, MSN menjadi tempat yang sesuai untuk menjalankan kem latihan pusat selepas MSN dan FAM mencapai kata sepakat.

Namun sehingga kini tarikh sesi latihan pusat Harimau Malaya secara gelembung sukan masih belum ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri mengesahkan Malaysian Football League (MFL) akan membentangkan SOP berkaitan perancangan Liga Malaysia musim 2021 pada awal minggu hadapan.

“Berkenaan MFL iaitu sesi latihan bagi pasukan dalam Liga Malaysia, MFL akan membawa dan membincangkan SOP tersebut dengan KKM serta MKN awal minggu hadapan di mana ia akan dibawa untuk mesyuarat MKN nanti,” ujarnya

(Nota: Mohd. Fariq merupakan penulis sukan bola sepak lebih daripada 20 tahun)


Tags

Add Comment

Click here to post a comment