Bola Sepak Terkini

Liga M3 tetap akan dijalankan


SUBKHI SUDARJI

LIGA Bolasepak Amatur (AFL) tidak berhasrat untuk membatalkan saingan Liga M3 musim ini sebagaimana yang berlaku musim lalu bagi mengelakkan pasukan berkubur.

Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata kepada CAKAPSUKAN, pihaknya memahami apa yang dirasai pasukan musim lepas ekoran pembatalkan kejohanan berkenaan.

“Setakat hari ini tiada sebarang perbincangan kearah membatalkan kejohanan ini. Apa cara pun kita akan pastikan musim ini kejohanan berkenaan akan berlangsung sebagaimana dirancangkan.

“Memang ada sedikit kekangan dari segi pandemik covid dan kemungkinan jumlah penyertaan berkurangan, tetapi sebagaimana kita maklumkan sebelum ini kita akan cuba mencari jalan penyelesaian agar kejohanan dapat dijalankan,” jelasnya.

Untuk rekod, pada Jun tahun lalu, AFL mengambil langkah drastik membatalkan saingan Liga M3 musim 2020 susulan COVID-19 dan nasib sama turut menimpa pertandingan Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Kebangsaan.

Isnin lalu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat keputusan untuk membatalkan saingan Piala FA manakala sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) 2021 ditunda ke 5 Mac susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara, kecuali Sarawak hingga 4 Feb ini.

MFL juga membuat keputusan kalendar Liga-M musim 2021 menyaksikan Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia dan Challenge Cup diteruskan.

Pada tahun lepas, MFL terpaksa membatalkan kempen Piala FA dan Piala Malaysia berikutan pandemik Covid-19, manakala saingan Liga Super dan Liga Premier terpaksa dipendekkan.

 

Mohd Yusoff memaklumkan AFL akan cuba memastikan saingan Liga M3 tahun ini berjalan sebagaimana dirancangkan.

Mohd Yusoff berkata, pendaftaran pasukan yang menyertai Liga M3 dibuka sehingga 19 Februari nanti selepas beberapa kali dipinda tarikh akhir penyertaan.

“Setakat hari ini, sembilan pasukan telah mengemukakan permohanan menyertai kejohanan dan jumlah ini berkurangan hampir 50 peratus dari tahun lalu dan bilangan berapa ramai pasukan akan menyertainya masih belum dapat dipastikan sehinggalah tarikh tutup penyertaan pada 19 Februari nanti.

“Musim lalu seramai 20 pasukan telah menyertainya. Bagi musim 2021 , kami akan melihat dari segi dokumen kewangan dan pelbagai aspek sebelum mereka diberikan kebenaran menyertai kejohanan,” katanya.

INFO RINGKAS LIGA M3

– Musim 2019 menyaksikan penstrukturan semula format oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

– Pada 19 Disember 2018, FAM telah mengumumkan perubahan format tersebut dalam satu sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.

– Liga M3 yang akan dijadikan liga divisyen 3 yang baru akan dikelolakan sepenuhnya oleh Liga Bola Sepak Amatur dengan melibatkan 14 pasukan.

– Saingan Liga M3 musim 2020 akan dibuka kepada 20 pasukan yang diasingkan kepada dua kumpulan sekali gus menyaksikan penambahan enam pasukan berbanding hanya 14 pada musim 2019.

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading