Antarabangsa Bola Sepak Terkini

Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023; AFC terima tiga permohonan rasmi hak penganjuran


SUBKHI SUDARJI

KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) telah menerima tiga permohonan rasmi dari negara-negara yang berada dalam Kumpulan H mengenai hak untuk menjadi tuan rumah dan tarikh penundaan aksi kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John berkata kepada CAKAPSUKAN, semua negara mempunyai hak untuk menjadi tuan rumah pertandingan pusingan kelayakkan ini.

“Kita masih menunggu hasil perbincangan mereka. Kita harap kita dapat kata putus dalam pertengahan Februari nanti. Setakat ini masih ada dua negara yang belum menghantar surat rasmi kepada AFC,” jelasnya ketika dihubungi sebentar tadi.

Diminta mengulas lanjut tiga negara yang telah mengemukakan permohonan berkenaan, Windsor memaklumkan buat masa ini dia tidak boleh memberikan komen lanjut.

Selasa lalu, CAKAPSUKAN melaporkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengemukakan permohonan rasmi persetujuan untuk menunda tarikh aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijadualkan Mac nanti diadakan Jun kepada  Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Keputusan ini dicapai hasil perbincangan bersama FAM dengan Persatuan bola sepak Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand dan Indonesia susulan saranan dikemukakan AFC yang memberi lampu hijau kepada semua pasukan dalam kempen kelayakan untuk berbincang dan memutuskan sama ada perlawanan berkenaan boleh berlangsung mengikut jadual yang dirancang atau tidak.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingan berkata, selain FAM yang akan mengemukakan surat permohonan rasmi tiga lagi pasukan lain yang berada dalam kumpulan sama selain Vietnam juga akan berbuat demikian.

“Empat negara termasuk Malaysia sudah ada persetujuan bersama hasil perbincangan sebelum ini antaranya UAE, Thailand dan Indonesia untuk mengubah tarikh perlawanan kepada Jun nanti.

“Bagi FAM pula, surat rasmi permohonan mengenai persetujuan ini telah akan dihantar kepada AFC hari ini. Begitu juga dengan tiga negara lain yang telah bersetuju untuk berbuat demikian,” katanya.

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading