
HASRAT Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang ingin memohon kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) buat pasukan beraksi sekurang-kurangnya dua minggu sebelum saingan yang dijadualkan 5 Mac 2021 mendapat maklum balas positif dikalangan persatuan bola sepak negeri.
Rata-rata pengurusan bola sepak dan pemain yang dihubungi CAKAPSUKAN mendapati ini perlu bagi mereka mengembalikan kecergasan selain memastikan penaja terus bersama pasukan untuk meneruskan saingan Liga Malaysia 2021.

Bagi Presiden Kelab Bolasepak Sarawak United (SUFC), Datuk Posa Majais berkata langkah berkenaan adalah wajar memandangkan setiap pasukan perlukan masa untuk menjalani latihan bersama.
“Memang wajar dan tepat. Pemain sudah lama tidak menjalani latihan dalam pasukan, keserasian perlu dibentuk semula dan ia memerlukan masa sebelum turun beraksi dalam saingan sebenar.
“Perlu dingat juga bola sepak kini adalah perniagaan dimana sumber kewangan banyak bergantung kepada penajaan. Jadi bagi saya MKN dan KKM perlu mengambil kira faktor ini,” jelasnya.

Pengurus pasukan Selangor FC, Mahfizul Rusydin Ab Rashid pula berpendapat, tempoh masa lebih lama diberikan sebelum saingan bermula.
“Lagi bagus jika diberikan tempoh lebih panjang bagi membolehkan pasukan bersedia dari segi fizikal untuk mengekalkan pemain mengalami kecederaan selain mutu permainan dibawah kemampuan sebenar.
“Mungkin pemain akan bermula dengan sedikit perlahan dan tidak sampai ke tahap yang sepatutnya,” ujarnya.

Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Dr Zulakbal Abd Karim pula mahu semua pasukan melakukan persediaan awal dan berlapang dada walaupun tempoh dua minggu dianggap tidak mencukupi.
“Apa yang dilakukan MFL adalah demi kepentingan bolasepak negara dan pemegang taruhnya demi kelangsungan Liga Malaysia terjamin.
“Kebenaran ini wajar diperhalusi oleh MKN dan KKM dimana mereka perlu melihat bolasepak kita sebagai satu perniagaan dan aktiviti ekonomi sama seperti sektor lain,” tegasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri melihat usaha MFL wajar disokong semua pasukan dalam Liga Malaysia untuk mengelakkan sebarang implikasi kepada kelab khususnya dari penajaan.
“Kita tidak mahu peristiwa sebelum ini dengan adanya penarikan diri penaja apabila tiada aksi musim lalu, jadi kebenaran untuk menjalani latihan awal sebelum aksi sebenar menggambarkan usaha MFL memastikan saingan berjalan seperti yang dirancang.
“Bagi kami walaupun masa dua minggu agak singkat tetapi tetap bersedia untuk beraksi mengikut SOP yang ditetapkan nanti,” katanya.
Semalam CAKAPSUKAN melaporkan MFL akan mengemukakan permohonan kebenaran pasukan memulakan latihan dua minggu sebelum saingan sepak mula yang dijadualkan 5 Mac nanti.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Abd Ghani Hassan berkata, perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan diadakan Isnin ini.
“Permohonan dengan SOP baharu akan dibentang Isnin ini dengan mengambil kira situasi semasa selepas tamatnya tempoh perlaksanaan PKP, 4 Februari nanti.
“Kebiasannya memang pasukan memerlukan dua minggu untuk menjalani latihan dan pra perlawanan sebelum saingan sepak mula Liga Malaysia 2021 bermula.
“Elemen ini akan kita bincangkan pada pertemuan Isnin ini bersama SOP baharu,”






Add Comment