Antarabangsa Badminton

Pang Ron-Yee See cipta kejutan


BEREGU campuran Hoo Pang Ron-Cheah Yee See mencipta kejutan ke atas pasangan nombor lapan dunia Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja pada pusingan suku akhir kejohanan badminton Terbuka Thailand Toyota di Bangkok hari ini.

Pasangan negara yang berada di kedudukan ke-35 dunia itu mengambil masa 68 minit untuk melakar kemenangan 12-21, 21-19, 21-19 menentang pasangan pilihan keenam dari Indonesia itu di Impact Arena.

“Kami bergelut pada set pertama. Mungkin kami tidak biasa dengan permainan yang perlahan. Kami belum pernah bermain di Gelanggang Dua dan ia menyukarkan kami. Pada set kedua dan ketiga, perlahan-lahan kami mendapatkan rentak semula dan bermain dengan agak baik.

“Mereka mempunyai kelebihan, secara fizikal kami mungkin tidak sekuat mereka tetapi taktik kami dan kelajuan Yee See di depan lebih pantas berbanding mereka dan ini menjadikan perlawanan kami lebih lancar,” kata Pang Ron seperti dipetik dalam laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.com.

Pang Ron-Yee See akan bertemu pasangan nombor enam dunia Seo Seung Jae-Chae Yujung dari Korea Selatan dalam perlawanan separuh akhir esok.

“Seperti yang saya katakan sebelum setiap perlawanan, tiada tekanan kerana kami pasukan ‘underdog’, jadi diharap kami dapat membawa pulang sesuatu untuk Malaysia,” kata Pang Ron mengulas mengenai pihak lawan yang merupakan pasangan pilihan keempat.

Turut mara ke separuh akhir adalah beregu wanita negara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Sementara itu, Liew Daren gagal meneruskan persembahannya pada acara perseorangan lelaki apabila tewas 16-21, 15-21 kepada pemain pilihan keempat Viktor Axelsen dari Denmark. -BERNAMA–

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading