SIDANG MEDIA KHAS
DATO’ SERI AHMAD FAIZAL BIN DATO’ AZUMU, S.P.M.P, A.M.P.
PRESIDEN PERSATUAN BOLASEPAK PERAK DARUL RIDZUAN Merangkap PENGERUSI KELAB BOLASEPAK PERAK FC SDN BHD
Tarikh: 21HB JANUARI 2021 (KHAMIS)
Masa: 11.00 PAGI
Venue: HOTEL CASUARINA @ MERU, IPOH
1. PROSES PERALIHAN TAMPUK KEPIMPINAN PAFA
1.1 Setelah saya dilantik sebagai Menteri Besar Perak Darul Ridzuan selepas PRU2018, saya telah dikunjungi oleh beberapa individu dan kumpulan yang meminta saya untuk mengambilalih segera tampuk kepimpinan PAFA dalam usaha untuk memastikan ‘kantung’ PAFA yang mempunyai kos perbelanjaan tahunan sekitar RM20juta ke RM24juta tidak terjejas.
1.2 Saya sedar bahawa tanggungjawab untuk mengambilalih tampuk kepimpinan PAFA ini bukanlah satu perkara yang mudah terutamanya dalam konteks kewangan kerana PAFA tidak mempunyai sumber pendapatan yang khusus dan hampir 90% pendapatannya adalah bergantung kepada hasil tajaan dan sumbangan semata-mata. Pada ketika ini saya fikir mustahil untuk saya berikan yang terbaik sekiranya saya menjawat kedua-dua jawatan tersebut dalam pada masa yang sama.
1.3 Namun sebagai salah seorang peminat tegar Pasukan Bolasepak Negeri Perak, saya sedar bahawa tanpa bantuan dan sokongan daripada Kerajaan Negeri, PAFA sudah pasti tidak akan mampu untuk bertahan dan seterusnya akan memberikan implikasi yang amat buruk kepada sukan bolasepak Negeri Perak.
1.4 Bertindak di atas kesedaran itu, saya rasakan wajar untuk pihak Kerajaan Negeri melibatkan diri bagi meneruskan bantuan kepada PAFA dan saya telah memberikan mandat kepada Yang Berhormat Hasnul Zulkarnain bin Abdul Munaim selaku wakil daripada Kerajaan Negeri untuk dipilih selaku Presiden PAFA semasa Kongres Tahunan PAFA Kali Ke-60, 2018 yang bersidang pada 21hb Julai 2018.
1.5 Namun sebaik-baik perancangan manusia, perancangan Allah S.W.T. itu yang paling sempurna apabila Yang Berhormat Hasnul Zulkarnain turut mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan Presiden PAFA selepas beberapa bulan menjawat jawatan tersebut kerana beberapa insiden yang berlaku selepas Pasukan Perak muncul Juara Piala Malaysia 2018.
1.6 Pada ketika ini, saya sekali lagi dihubungi dan dikunjungi beberapa individu dan kumpulan yang meminta saya untuk mengambilalih tampuk kepimpinan PAFA dan walaupun saya secara peribadi merasakan tanggungjawab ini amat berat, namun saya bulatkan tekad, kuatkan semangat untuk memikul tanggungjawab sebagai Presiden PAFA selepas dipilih di dalam Kongres Luar Biasa PAFA pada 6hb Disember 2018.
2. PENCAPAIAN PASUKAN BOLASEPAK NEGERI PERAK (2018 – 2020)
2.1 Di sepanjang tempoh saya memegang tampuk kepimpinan PAFA di antara tahun 2018 hingga 2020, berikut adalah di antara pencapaian serta kejayaan yang telah diperolehi:-
(a) 2018
(b) 2019
(c) 2020
– Juara Piala Malaysia
– Naib Juara Liga Super
– Suku Akhir Piala FA
– Pingat Emas SUKMA (Sukan Malaysia)
– Naib Juara Piala FA
– Ke-5 Liga Super
– Suku Akhir Piala Malaysia
– Pusingan kelayakan Piala ACL (Asian Champions League)
– Ke-4 Liga Super
3. LAPORAN KEWANGAN PAFA
3.1 Bermula pada Jun 2018 sehingga Disember 2018, PAFA di bawah tampuk
kepimpinan yang baru telah berjaya mendapatkan tajaan sebanyak RM13juta yang mana hanya 66% daripada jumlah tajaan tersebut diperolehi daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) manakala selebihnya diperolehi daripada syarikat-syarikat swasta.
3.2 Satu perkara yang ingin saya kongsikan di sini adalah komitmen kewangan PAFA bagi tahun 2018 berjaya diselesaikan dengan sempurna di mana PAFA tidak mempunyai sebarang tunggakan bayaran gaji mahu pun sebarang hutang bagi tahun tersebut dan perkara ini disahkan oleh FAM dan MFL melalui proses Pelesenan Kelab (Club Licensing Regulations) di mana PAFA telah dianugerahkan lesen bagi menyertai saingan Liga Malaysia dan pertandingan peringkat antarabangsa anjuran AFC.
3.3 Bukan itu sahaja, kejayaan Pasukan Perak muncul Juara Piala Malaysia 2018 juga menyaksikan pihak pengurusan PAFA turut menyampaikan bonus dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.3juta kepada para pegawai dan pemain sebagai tanda penghargaan di atas komitmen dan kesungguhan mereka.
3.4 Manakala bagi tahun 2019, hanya 36% (RM8.6juta) sahaja yang melibatkan sumbangan dana dari Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi menampung kos operasi PAFA telah diperolehi sebagai pendapatan pada tahun 2019 manakala bakinya adalah bersumberkan daripada sumbangan syarikat korporat dan swasta. Penerimaan tajaan keseluruhan PAFA bagi tahun 2019 berjumlah sebanyak RM24juta.
3.5 Tahun 2019 juga menyaksikan Pasukan Perak berjaya mara ke perlawanan akhir Piala FA 2019 untuk bertemu Kedah dan sekali lagi sebagai tanda penghargaan, pihak pengurusan PAFA turut meluluskan peruntukan bonus keseluruhan sebanyak RM800,000.00.
3.6 Setelah berakhir tahun 2019, PAFA sekali lagi berjaya memenuhi segala komitmen kewangan dan tiada sebarang hutang atau tunggakan yang ditinggalkan.
3.7 Pada tahun 2020, pihak pengurusan PAFA telah berjaya mendapatkan tajaan sebanyak RM21juta bagi tempoh sehingga Oktober 2020 sekaligus dapat memastikan tiada tunggakan berkenaan pembayaran gaji serta lain-lain komitmen kewangan sehingga Oktober 2020.
4. PERLETAKAN JAWATAN (OPTIONAL)
4.1 Saya dengan ini mengumumkan perletakan jawatan saya selaku Presiden Persatuan Bolasepak Perak Darul Ridzuan (PAFA) berkuatkuasa serta-merta. Surat perletakan jawatan akan saya serahkan kepada Setiausaha Kehormat PAFA selepas ini.
4.2 Di kesempatan ini, saya ingin memohon ampun dan maaf kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung di atas sebarang kekhilafan yang saya lakukan sepanjang berada di dalam PAFA.
4.3 Terima kasih.
Y.B. DATO’ SERI AHMAD FAIZAL BIN DATO’ AZUMU, S.P.M.P., A.M.P.
Presiden Persatuan Bolasepak Perak Darul Ridzuan, Merangkap Pengerusi Kelab Bolasepak PERAK FC SDN BHD





Add Comment