Bola Sepak Terkini

FAM segera laksanakan gerak kerja


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) perlu melakukan perancangan yang cukup teliti membabitkan persiapan kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selepas mendapat kebenaran dari Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya menyambut baik kebenaran yang diberikan itu dan akan segera melakukan gerak kerja untuk mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak terlibat, antaranya Majlis Sukan Negara (MSN) dan kelab-kelab Liga Malaysia bagi tujuan penyediaan venue latihan dan pelepasan pemain.
“Pertama sekali, setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada YB Dato’ Sri Reezal Merican yang cukup prihatin dengan isu membabitkan skuad Harimau Malaya ini dan beliau juga sentiasa berusaha untuk memastikan kita dapat kembali berlatih bagi mempersiapkan pasukan menjelang perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac ini.
“Dengan mengambil kira kem latihan pusat ini perlu diadakan secara kuarantin, kami perlu melakukan perancangan yang cukup teliti terutama dalam mendapatkan persetujuan daripada MSN terutama dari segi tempat tinggal dan juga kemudahan padang latihan sebelum dapat membuat ketetapan bagi tarikh kem latihan pusat ini untuk diadakan.
“Banyak perkara lain yang turut perlu dipertimbangkan antaranya pelepasan pemain memandangkan kelab-kelab Liga Malaysia juga dalam persiapan menjelang sepak mula Liga Super dan Liga Premier 2021 pada penghujung Februari. Kami akan maklumkan dalam masa terdekat ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, FAM turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican kerana telah memberi lampu hijau untuk skuad Harimau Malaya mengadakan kem latihan pusat secara kuarantin.
FAM sebelum ini terpaksa membatalkan kem latihan pusat skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu yang sepatutnya berlangsung dari 16 hingga 25 Januari 2021 selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kebanyakan negeri di semenanjung termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor bermula 13 Januari 2021.
Skuad Harimau Malaya dijadual menghadapi perlawanan keenam dan ketujuh Kumpulan G bagi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu UAE pada 25 Mac 2021 di tempat lawan dan menentang Vietnam pada 30 Mac 2021 di gelanggang sendiri.

Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: