
Oleh MOHD. FARIQ
KATA orang, adat juara kalah menang.. adat saudara laba rugi.
Itulah yang terlahir daripada bentak hati penulis selepas mendengar pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang telah mengumumkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri lain iaitu Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Perlis sehingga 4 Februari depan.
Seperti peribahasa penulis maksudkan di atas yang bermaksud dalam kehidupan, kita mengalami nasib baik dan tidak baik, kebimbangan penulis terhadap bola sepak terutama Liga Malaysia kembali terasa.
Masakan tidak, belum lagi reda dengan perkhabaran gembira menyaksikan skuad Harimau Malaya diberikan kebenaran menjalani sesi latihan berpusat secara tapak kuarantin di Majlis Sukan Negara (MKN), penulis cukup yakin penyokong-penyokong akan mula berteka-teki berkenaan sepak mula Liga Malaysia musim 2021.

Jika berdasarkan perancangan awal Malaysian Football League (MFL) mahu membuka tirai Liga Malaysia dengan perlawanan Piala Sumbangsih yang menemukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah pada 26 Februari depan, penulis sendiri secara peribadi menganggap perkara itu sukar untuk berlaku.
Ini kerana secara realistik penulis percaya persiapan pasukan akan terjejas termasuk tarikh sepak mula Liga Malaysia musim 2021.
Bayangkan negeri yang sebelum ini menjalani tempoh PKP bermula 12 Januari sehingga 26 Januari dan terbaharu enam negeri pula berdepan PKP bermula 22 Januari sehingga 4 Februari seperti yang diumumkan hari ini oleh MKN.
Justeru bayangan penulis semestinya bakal berlaku sambungan tempoh PKP kepada negeri-negeri lain kerana firasat penulis itu hadir disebabkan trend pesakit baharu Covid-19 semakin tinggi.
Namun dalam masa yang sama jika diikutkan logik akal, kita semua memahami keputusan pihak kerajaan bertindak melanjutkan tempoh PKP disebabkan usaha untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19 yang masih belum menunjukkan potensi daripada segi penurunan pesakit baharu.
Bagaimanapun, penulis menaruh keyakinan tinggi kepada MFL yang akan mempersiapkan ‘pelan B’ dalam memastikan Liga Malaysia tahun ini berjalan seperti biasa seiring amalan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Cukuplah kita menyaksikan MFL menanggung kerugian besar hampir RM60 juta pada tahun lalu selepas Liga Super dan Liga Premier berjalan 11 perlawanan sahaja dengan menyaksikan Piala FA dan Piala Malaysia dibatalkan di mana pihak kerajaan harus menyedari bahawa industri bola sepak sebenarnya juga penting untuk menjana ekonomi negara.
LANGKAH SETERUSNYA
MFL harus memanggil kesemua rakan kongsi liga untuk berbincang atau membuat satu keputusan jika PKP masih dilanjutkan ke tempoh lebih lama.
Bukan apa, kali ini tiada orang boleh menuding kepada MFL semata-mata kerana sebarang keputusan itu dibuat bersama rakan kongsi liga.
Apa yang pasti semua menyedari bahawa bola sepak bukan sekadar sukan semata-mata sebaliknya ia adalah jiwa dan betapa pentingnya bola sepak kepada rakyat Malaysia.
Dalam masa yang sama, kita sebagai penyokong juga haruskan memainkan peranan penting dalam misi memutuskan rantaian Covid-19.
Penulis mengingatkan kepada semua bahawa jangan sesekali menafikan diri bahawa pandemik Covid-19 telah mengubah cukup besar dalam kehidupan seharian masyarakat sehingga memaksa kita semua menyesuaikan diri dengan norma baharu memakai pelitup muka, penjarakan sosial termasuk berdepan PKP.
Bola sepak tidak cukup untuk memerlukan seorang hero sebaliknya kita semua harus menjadi wira untuk menyelamatkan industri bola sepak negara.
Akhir kata, izinkan penulis memetik kata legenda Singapura, Fandi Ahmad: “Football is like life; It requires perseverance, self denial, hard work, sacrifice, dedication and respect for authority.”
(Nota: Mohd Fariq merupakan penulis sukan bola sepak lebih daripada 20 tahun)





Add Comment