Bola Sepak Semasa Terkini

Cheng Hoe belum putuskan tarikh kem latihan

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Cheng Hoe menghargai keputusan MKN dan KBS dan pihaknya kini sedang memperhalusi beberapa faktor sebelum memanggil barisan pemain.

 

SUBKHI SUDARJI

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe masih belum memutuskan tarikh yang sesuai bagi memanggil barisan pemain menyertai kem latihan berpusat Harimau Malaya sebagai persiapan menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac depan.

Jelasnya, buat masa ini perbincangan lanjut dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang dijalankan bagi memilih tarikh sesuai untuk pemain hadir ke kem latihan tersebut.

“Memanggil pemain memang ada dalam perancangan tetapi dengan situasi semasa ini banyak faktor perlu diambil kira.

“Kemungkinan pemain menjalani kem latihan pusat pada Januari dan Februari ini agak sukar, sebagaimana yang kita sedia maklum situasi pandemik Covid-19 ketika ini masih belum menunjukkan penurunan .

“Begitu juga pastinya setiap pasukan dalam proses terakhir menghadapi saingan Liga Malaysia 2021 dan semua ini perlu diambil kira. Buat masa ini saya masih belum boleh maklumkan tarikh bagi kem latihan pusat,” jelasnya ketika dihubungi CakapSukan, sebentar tadi.

Semalam CakapSukan melaporkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberitahu skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu telah mendapat lampu hijau untuk persiapan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 nanti.

Jelas Reezal Merican, skuad Harimau Malaya yang bakal bertemu Emiriah Arab Bersatu di Abu Dhabi (26 Mac) dan menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil (31 Mac) itu bakal menjalani sesi latihan pusat di Majlis Sukan Negara (MSN) secara tapak kuarantin dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Pengendali kelahiran Kedah ini juga menghargai di atas komitmen Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang memberikan lampu hijau buatnya mengumpulkan pemain menjalani kem latihan.

“Saya berterima kasih kepada MKN dan KBS yang begitu prihatin dengan persiapan Harimau Malaya. Apabila MKN memberi kebenaran kami perlu merancang dan mengambil kira beberapa aspek yang perlu demi keselamatan dan kebaikkan semua pihak,” tegasnya.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: