Pelbagai Semasa Terkini

Tiga pegawai ISN positif Covid-19

Spread the love
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Ahmad Faedzal menjelaskan kerjasama rapat secara satu pasukan ISN dan MSN akan diteruskan dalam memastikan program latihan berpusat secara kuarantin ini diurus mengikut SOP yang dipersetujui Kerajaan.

INSTITUT Sukan Negara (ISN) mengesahkan tiga pegawainya yang terlibat dalam memantau perkembangan program latihan atlet dan jurulatih negara di bawah Program Majlis Sukan Negara (MSN) di lima lokasi kem latihan berpusat disahkan positif Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, seramai 47 orang pegawai ISN yang terdiri daripada pegawai perubatan dan sains sukan telah memulakan perkhidmatan dan memantau perkembangan program latihan atlet dan jurulatih negara di bawah Program MSN di lima lokasi kem latihan berpusat iaitu di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, Kompleks MSN Taman Keramat, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, Velodrom Nasional Nilai dan Pusat Latihan Kebangsaan Perahu Layar Langkawi.

“Skop tanggungjawab utama pasukan ISN semasa kem latihan berpusat ini turut meliputi pemantauan tahap kesihatan, khidmat rawatan awal, rujukan klinikal perubatan serta pematuhan terhadap amalan penjagaan kesihatan diri terutama dalam pengurusan “counter measures Covid-19.

” Dalam aspek prestasi pula, pasukan sains sukan ISN berperanan dalam memberi khidmat kepakaran sains sukan terutama dalam aspek pemakanan sukan, suaian fizikal, psikologi sukan, fisiologi senam dan biomekanik.

“ISN juga telah mengambil langkah proaktif dalam menjalankan sesi ujian RTK Antigen terhadap para pegawai ISN yang terlibat dengan kem latihan berpusat pada 12 Januari 2021.

“Hasil dari ujian yang telah dijalankan, seramai tiga pegawai ISN telah disahkan positif Covid-19. Kesemua kes positif pegawai ISN telah diuruskan segera sepertimana ‘standard operating procedure’ (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Senarai kontak rapat juga telah dikenal pasti untuk mereka menjalani ujian saringan Covid-19 dan kini diletakkan di bawah Home Surveillance Order (HSO). Tindakan susulan yang berkaitan juga telah dilaksanakan dengan menjalankan kerjakerja pembersihan serta sanitasi di Ibu Pejabat ISN, Bukit Jalil,” jelasnya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi.

Ahmad Faedzal berkata, sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap bidang perubatan, sains dan inovasi sukan, pihak ISN amat menitikberatkan aspek kesihatan, keselamatan dan kebajikan atlet serta pegawai terutama dalam menghadapi cabaran Covid-19.

“Kerjasama rapat secara satu pasukan antara pihak ISN dan MSN juga akan diteruskan dalam memastikan program latihan berpusat secara kuarantin ini diurus mengikut SOP yang dipersetujui oleh Kerajaan dengan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara rapi dan berterusan,” tegasnya.

 


Spread the love
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: