Bola Sepak Semasa Terkini

Harimau Malaya bakal berlatih seandainya saingan Liga M 2021 ditunda

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Cheng Hoe bakal memanggil pemain menjalani latihan Februari nanti namun bergantung situasi semasa Covid-19 selain penangguhan Liga M 2021.

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe  dijangka memanggil pemain menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya seandainya saingan Liga Malaysia 2021 yang dijadualkan diadakan 26 Februari ini ditangguhkan.

Namun pada masa sama, situasi semasa pandemik Covid-19 juga menjadi panduan utama Cheng Hoe demi kebaikkan dan keselamatan semua pemain serta staf kejurulatihan skuad kebangsaan.

Jelasnya, untuk menghimpunkan pemain dalam kem latihan pada Februari nanti sememangnya sukar memandangkan pemain yang bakal dipanggil juga mempunyai komitmen dengan pasukan negeri.

“Mereka juga akan menjalani latihan bersama pasukan dan saya percaya ketika itu (Februari) latihan sudah memasuki fasa terakhir. Bukan mudah untuk mendapatkan pelepasan pemain.

“Namun jika saingan Liga M 2021 ditunda ke tarikh yang lain, mungkin kita akan mengadakan kem latihan berpusat pada Februari nanti. Tapi ianya juga bergantung kepada situasi Covid -19 semasa,” ujarnya dihubungi CakapSukan, sebentar tadi.

Selasa lalu, FAM memutuskan kem latihan skuad Harimau Malaya yang dijadualkan pada 15 hingga 26 Januari dibatalkan ekoran arahan kerajaan yang mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan di enam negeri termasuklah Selangor.

Situasi ini menyebabkan persiapan skuad bimbingan Cheng Hoe sedikit terganggu menjelang saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang UAE dan Vietnam, Mac nanti.

Terdahulu, CakapSukan melaporkan kesediaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menjadi saluran kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi pertimbangan pelepasan sesi latihan pusat skuad Harimau Malaya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat terhadap kesemua sektor sukan termasuk bola sepak negara.

Bagaimanapun, Reezal menegaskan KBS hanya boleh memainkan peranan sebagai orang tengah bagi permohonan kepada KKM sekiranya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengemukakan surat rayuan tersebut kepada pihaknya.

“Jika FAM mahu merayu (memberikan pelepasan untuk mengadakan sesi latihan pusat Harimau Malaya) tuliskan kepada KBS dan KBS akan membawa ia kepada KKM.

“Kemudian dalam mesyuarat bersama KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di mana keputusan sama ada sesi latihan pusat pasukan kebangsaan dibenarkan atau sebaliknya bergantung kepada MKN,” katanya.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: