Bola Sepak Semasa Terkini

Harimau Malaya tanpa persedian rapi

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

PENGURUS pasukan Harimau Malaya, Datuk Mohd Yusof Mahadi menjelaskan skuad bola sepak negara tidak mempunyai pilihan selain terpaksa meneruskan cabaran pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, tanpa persediaan optimum seandainya ia diteruskan mengikut perancangan pada Mac depan.

Jelasnya, ketua jurulatih Tan Cheng Hoe mungkin tidak dapat mengumpulkan barisan pemain untuk menjalani latihan berpasukan menjelang saingan itu, selepas kem latihan pusat yang dijadual diadakan pada bulan ini dibatalkan.

“Kita sudah tidak ada pilihan selepas kita tak dapat nak adakan kem latihan pusat pada bulan ini. Jika kita nak panggil pemain pada bulan Februari, mereka pasti sibuk dengan persiapan pasukan masing-masing, menjelang Liga-M yang bermula 26 Febuari.

“Jadi macam mana kita nak panggil mereka semua untuk sertai kem latihan pusat selama 10 hari, mana ada pasukan ingin lepaskan pemain ketika mereka sedang giat dalam persediaan pramusim,” ujarnya.

Mohd Yusof yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut menjelaskan pihaknya kini menunggu keputusan rasmi daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung jadual saingan kelayakan itu, sama ada ia akan diteruskan pada Mac atau ditangguh untuk diadakan secara karnival pada Jun di lokasi terpilih.

“Pasukan negara boleh memanfaatkan kalendar perlawanan antarabangsa dari 22 hingga 30 Mac depan untuk menjalani kem latihan pusat, sekiranya FIFA memutuskan untuk menunda saingan kelayakan itu pada Jun.

“Pada saya, FIFA kena maklumkan cepat, kalau tidak susah semua negara dalam menentukan hala tuju musim ini. Namun apa saja keputusan mereka FIFA kita akan buat perancangan baharu atau ubah suai mengikut keadaan tertentu, bagi menghadapi saingan itu.

“Setakat ini, saya melihat kalau perlawanan pada Mac sukar untuk diadakan kem latihan pusat, tetapi sekiranya pada Jun kita masih berpeluang,” tegasnya.

Kem latihan pusat skuad kebangsaan yang pertama sejak November 2019 dijadual bermula 15 hingga 26 Jan ini, namun terpaksa dibatalkan ekoran pelaksanaan PKP di enam negeri untuk tempoh 14 hari sehingga 26 Januari nanti.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: