Bola Sepak Semasa Terkini

FAM harus hantar rayuan

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

 

Reezal Merican memaklumkan pihaknya sentiasa mengambil berat terhadap kesemua sektor sukan termasuk bola sepak negara.

Oleh MOHD FARIQ

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) telah bersedia untuk menjadi saluran kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi pertimbangan pelepasan sesi latihan pusat skuad Harimau Malaya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Itulah yang diakui Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mendedahkan pihaknya sentiasa mengambil berat terhadap kesemua sektor sukan termasuk bola sepak negara.

Bagaimanapun, Reezal menegaskan KBS hanya boleh memainkan peranan sebagai orang tengah bagi permohonan kepada KKM sekiranya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengemukakan surat rayuan tersebut kepada pihaknya.

“Jika FAM mahu merayu (memberikan pelepasan untuk mengadakan sesi latihan pusat Harimau Malaya) tuliskan kepada KBS dan KBS akan membawa ia kepada KKM.

“Kemudian dalam mesyuarat bersama KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di mana keputusan sama ada sesi latihan pusat pasukan kebangsaan dibenarkan atau sebaliknya bergantung kepada MKN,” katanya kepada Cakapsukan, hari ini.

 

Ini lah juga di lakukan KBS sebelum ini untuk FAM dan MFL dalam urusan Liga Malaysia tahun lepas serta juga untuk musim baru Liga Malaysia yang di jadualkan bermula pada Februari 26, 2021.

Semalam Cakapsukan melaporkan satu surat terbuka diajukan kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membenarkan pasukan kebangsaan melakukan persiapan untuk kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Berdasarkan kedudukan terkini, skuad negara berada dalam landasan terbaik untuk layak secara automatik ke saingan Piala Asia 2023 selepas tangga kedua Kumpulan G pusingan kedua dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima daripada keseluruhan lapan aksi kumpulan.

Antara cadangan itu adalah meminta pertimbangan MKN untuk membenarkan pasukan kebangsaan mengadakan sesi latihan pusat secara semi-kuarantin di mana pasukan kebangsaan hanya dibenarkan ‘berkampung’ satu tempat khusus di mana setiap pemain dan pegawai akan sentiasa dinilai daripada pegawai KKM dari masa ke semasa sepanjang tempoh semi-kuarantin.

Sebagai rekod, Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas Piala Asia adalah ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007, namun sudah hampir 40 tahun Malaysia gagal meraih slot automatik Piala Asia sejak edisi 1980 di Kuwait.

Pandangan itu dilihat menjadi relevan selepas kem latihan berpusat di Majlis Sukan Negara (MSN) diteruskan setelah mendapat kelulusan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Covid-19 yang dipengerusikan Ismail Sabri pada 14 Januari lalu dengan syarat semua atlet dan jurulatih tidak dibenarkan keluar kecuali ke tempat latihan masing-masing secara terkawal.

Mesyuarat itu juga memutuskan kemudahan pusat latihan hanya boleh digunakan oleh atlet dan jurulatih sahaja dan pergerakan keluar masuk ke premis penginapan dan latihan selain daripada atlet dan jurulatih tidak dibenarkan di mana latihan sukan juga dijalankan mengikut SOP latihan yang telah ditetapkan sebelum ini.

Sebagai rekod, Ismail Sabri dan Reezal Merican antara tokoh yang sentiasa memberikan sokongan penuh kepada bola sepak tempatan.

Difahamkan, Ismail Sabri dan Reezal Merican yang menyokong sepenuhnya untuk meneruskan kejohanan TM Piala Malaysia 2020 dalam mesyuarat menteri tahun lalu.

Bagaimanapun, keputusan majoriti menteri tidak memihak kepada mereka berdua selain padanhan KKM menjadi penentu status TM Piala Malaysia 2020 tidak dapat diteruskan.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: