Pelbagai Semasa Terkini

Kem latihan berpusat MSN diteruskan mengikut “Quarantine Based Approach”

KEM latihan berpusat di Majlis Sukan Negara (MSN) diteruskan setelah mendapat kelulusan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Khas COVID-19 yang dipengerusikan Menteri Kanan Pertahanan pada 14 Januari 2021 dengan syarat semua atlet dan jurulatih tidak dibenarkan keluar kecuali ke tempat latihan masing – masing secara terkawal.

Mesyuarat tersebut juga membuat keputusan kemudahan pusat latihan hanya boleh digunakan oleh atlet dan jurulatih sahaja dan pergerakan keluar masuk ke premis penginapan serta latihan selain dari atlet dan jurulatih adalah tidak  dibenarkan. Latihan sukan juga akan dijalankan mengikut SOP latihan yang telah ditetapkan sebelum ini.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, seramai 632 atlet Podium, Podium Para dan Pelapis Kebangsaan serta jurulatih negara melibatkan sebanyak 28 jenis sukan yang sedang menjalani latihan secara “Quarantine Based Approach” empat lokasi.

“Kem latihan berkenaan adalah di Kompleks Majlis Sukan Negara Bukit Jalil, Kompleks MSN Taman Keramat, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, Pusat Latihan Kebangsaan Perahu Layar Langkawi dan Velodrome Nilai akan meneruskan latihan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sepertimana yang telah diumumkan Kerajaan 11 Januari lalu.

“Sebanyak 11 jenis sukan yang melibatkan seramai 355 orang atlet dan jurulatih sedia ada di Bukit Jalil dan Kg Pandan telah dibenarkan untuk “break camp“ sepanjang tempoh PKP tersebut.

“Bagi memudahkan pengawasan dan pemantauan, MSN telah memindahkan atlet dan jurulatih Para yang berkampung di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kg Pandan ke Kompleks MSN di Bukit Jalil supaya dapat dipusatkan secara bersama,” katanya menerusi siaran akhbar yang dikeluarkan sebentar tadi.

Ahmad Shapawi berkata, kem latihan secara “Quarantine Based Approach” ini juga akan dibantu oleh seramai 9 orang pegawai Urusetia, 33 orang krew  perkhidmatan Kafetaria Atlet serta 10 orang khidmat sokongan Sains dan Perubatan Sukan daripada pihak Institut Sukan Negara.

“Kesemua mereka akan bertugas secara sepenuh masa dengan atlet dan jurulatih negara. Mengenai status atlet yang telah disahkan positif COVID-19 sebelum ini, kesemua 2 orang dari sukan olahraga, 2 orang dari sukan tenis berkerusi roda, 2 orang dari bola keranjang kerusi roda, seorang atlet tenpin boling cacat pendengaran dan seorang pegawai pengiring sukan boccia telah dibenarkan keluar dari pusat kuarantin pada 12 Januari 2021 dan kini berada di Casa MSN untuk tujuan pemulihan kecergasan yang akan dilaksanakan oleh pihak Institut Sukan Negara sebelum dibenarkan untuk kembali berlatih.

“Manakala, seorang atlet wushu negara yang telah dikesan positif pada 9 Januari 2021 masih menjalani kuarantin di pusat kuarantin Sungai Buloh. Lima (5) orang pegawai MSN yang dikesan positif sebelum ini juga telah dibenarkan keluar dari PKRC MAEPS Serdang dan Sungai Buloh pada hari ini, manakala 2 orang pegawai yang dikesan positif pada 8 dan 10 Januari 2021 pula masih menjalani kuarantin di PKRC MAEPS Serdang,” jelasnya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: