Bola Sepak Semasa Terkini

Tukar status pemain Harimau Malaya kepada Frontliner

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

PERSATUAN Bola sepak Malaysia perlu menukar “status” barisan pemain Harimau Malaya kepada  petugas barisan hadapan (Frontliner) bagi membolehkan mereka menyertai kem latihan berpusat sebagai persiapan aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam, pada Mac depan.

Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Dr Zulakbal Abd Karim berkata, langkah ini wajar difikirkan badan induk bola sepak negara itu memandangkan barisan pemain juga dianggap petugas barisan hadapan yang membawa imej serta maruah negara.

“Saya difahamkan semalam dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) kali ke-12 bagi penggal 2017-2021 memaklumkan Malaysia bakal tersingkir dari kejohanan malah tidak dibenarkan menyertai Piala Dunia 2022 seandainya gagal menyertai kejohanan yang di UAE, Mac nanti.

“Jadi FAM perlu segera mengambil tindakan pro aktif dan bekerja lebih keras dari sebelumnya dengan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MKN).

“Skuad Harimau Malaya umpama frontliner jadi saya berpendapat permohonan ini ada kewajarannya,” jelasnya ketika dihubungi CakapSukan, sebentar tadi.

Dr Zulbakar juga memaklumkan, ketika ini Vietnam dilihat begitu serius mengadakan seisi latihan sebagai persiapan termasuklah berlatih dengan kehadiran suara penonton melalui rakaman untuk memastikan mereka betul-betul bersedia berhadapan dengan tekanan.

“Kem latihan berpusat ini perlu dilakukan mengikut SOP ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semua pegawai dan pengurusan perlu menjalani ujian swab dan pergerakan mereka terhad dikawasan kem sahaja.

“Pada masa sama juga, pembabitan ahli-ahli sains sukan dalam negara juga diperlukan bagi memantau tahap kecergasan dan kesihatan pemain agar mereka berada dalam keadaan terbaik,” ujarnya.

Jelasnya lagi, seandainya tiada usaha dan tindakan susulan dilakukan, dibimbangi barisan pemain Harimau Malaya gagal mengekalkan tahap kecergasan selain keserasian dalam pasukan.

“Pemain ketika ini hanya berlatih secara bersendirian dan dari segi keserasian memang sukar, jadi kem latihan berpusat sememangnya wajar diwujudkan mengikut garis panduan ditetapkan,” katanya.

Semalam, FAM mengambil keputusan membatalkan kem latihan pusat skuad kebangsaan yang sepatutnya berlangsung bermula pada Sabtu ini hingga 26 Januari terpaksa dibatalkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri semalam, FAM terpaksa membatalkan latihan pusat yang dijadualkan pada 16 hingga 25 Januari.

“FAM akan mencaturkan semula pergerakan pasukan kebangsaan ke arah perlawanan kelayakan Piala Dunia Mac nanti. Bila percaturan itu sudah lengkap, kami akan umumkan kemudian,” ujarnya.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: