Bola Sepak Semasa

Saingan Liga M 2021 kekal 26 Februari

 

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan perancangan asal saingan Liga Malaysia 2021 masih kekal pada 26 Februari.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata, MFL sudah ada langkah-langkah tertentu jika keadaan ini berterusan bagi memastikan semua pertandingan di Liga Malaysia 2021 dapat berlangsung seperti dirancang.

“ MFL menerima langkah kerajaan dalam melaksanakan PKP bagi negeri-negeri tertentu kerana indeks kes COVID-19 yang semakin tinggi dan kami faham akan keperluan berkenaan.

“ Sememangnya besar harapan kami agar PKP ini tidak berpanjangan kerana kalendar Liga Malaysia telah dikeluarkan termasuk piala-piala tertentu bagi memastikan musim 2021 lebih lancar dan teratur.

“ Bagaimanapun, MFL sudah ada pengalaman pada musim 2020 dan kita ada langkah-langkah tertentu jika situasi ini berpanjangan atau ada masalah sebagainya.

“ Cuma buat masa ini perancangan MFL masih kekal dengan kalendar sedia ada kerana situasi sekarang masih di peringkat awal memandangkan kita masih di bulan Januari berbanding sebelum ini PKP yang dilaksanakan pada Mac.

“ Jika PKP ditarik balik pada 26 Januari, maka semua pasukan mempunyai masa yang cukup mengadakan persiapan pra-musim bagi hadapi liga yang akan bermula dengan Piala Sumbangsih pada 26 Februari, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari di enam negeri berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam Rabu ini hingga 26 Januari depan.

Enam negeri terbabit adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah manakala Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi tempoh sama akan dikenakan terhadap enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Manakala dua negeri lagi iaitu Perlis dan Sarawak akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), juga untuk tempoh sama.

Pelaksanaan PKP itu bermakna sebarang aktiviti seperti sukan berkumpulan yang membabitkan latihan dan perlawanan bola sepak, tidak dibenarkan sama sekali buat masa ini.

Pada masa sama, Ab Ghani meminta kerjasama semua pasukan untuk sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang musim ini agar memastikan Liga Malaysia dapat berlangsung tanpa sebarang masalah jika sudah mendapat lampu hijau dari kerajaan.

“ Pasukan-pasukan termasuk pegawai dan pemain diharapkan sentiasa menjaga SOP dan keselamatan masing-masing kerana kita semua punyai tugas tersendiri.

“ Kita harapkan liga pada 2021 dapat berjalan lancar tanpa ada sebarang masalah yang membabitkan COVID-19 membabitkan sebarang pasukan seperti mana kita lakukan pada musim 2020, ” katanya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: