Bola Sepak Komentar Semasa Terkini

TERIMA LAH SURAT TERBUKA INI…..

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

DARIPADA MOHD FARIQ

SURAT TERBUKA KEPADA MENTERI KANAN PERTAHANAN, DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB

ASSALAMUALAIKUM W.B.T dan salam sejahtera kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Semoga Datuk Seri Ismail Sabri sentiasa berada dalam rahmat Allah S.W.T dan mendapat limpah kurnia daripadaNya.

Datuk Seri,

Baru-baru ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali berkuatkuasa dalam misi menghapuskan rantaian Covid-19 yang semakin serius menular dalam negara kita.

Hari demi hari jumlah nilai pesakit baharu Covid-19 tidak menunjukkan graf penurunan sebaliknya ia meningkat lebih serius jika dibandingkan polar semasa.

Sudah pasti ia menimbulkan keresahan rakyat tetapi dalam masa yang sama saya percaya rakyat akan sentiasa kekal patuh mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang tempoh pandemik ini.

Namun apa yang tergerak hati saya untuk menulis surat terbuka kepada Datuk Seri adalah berkenaan sektor sukan khususnya membabitkan bola sepak negara.

Umum mengetahui bahawa PKP telah berkuatkuasa bermula 13 Januari sehingga 26 Januari ini yang melibatkan Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Sabah.

Tatkala teki-teki berkenaan status Liga Malaysia sama ada berjalan atau sebaliknya selepas penguatkuasaan PKP, apa yang pasti ia telah merencatkan persiapan pasukan kebangsaan yang sepatutnya menjalani kem latihan pusat pada Sabtu ini terpaksa dibatalkan.

Suka atau tidak, inilah hakikat yang perlu ditelan oleh individu-individu yang berada dalam sektor sukan bola sepak tempatan sebagaimana masih berdepan persis episod hitam 2020.

Tahun lalu kita menyaksikan bola sepak terpaksa menunggu lama sebelum diberikan kebenaran oleh pihak kerajaan untuk menyambung semula perjalanan Liga Malaysia.

Bermain mengikut SOP dan beraksi tanpa penyokong antara ketetapan yang perlu dipatuhi di mana saya secara peribadi ingin memuji pengendali Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) yang berjaya menyeliakan perlawanan bebas daripada sebarang kluster Covid-19 pada tahun lalu,

Datuk Seri,

Tahun ini saya termasuk pendukung sukan bola sepak tanah air berharap pihak kerajaan dapat melakukan sesuatu untuk membantu pasukan kebangsaan yang bakal bermain kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Untuk makluman, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe kini berada pada kedudukan selesa di tangga kedua Kumpulan G pusingan kedua dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima daripada keseluruhan lapan aksi kumpulan.

Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas Piala Asia adalah ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007, namun sudah hampir 40 tahun Malaysia gagal meraih slot automatik Piala Asia sejak edisi 1980 di Kuwait.

Pertama, saya tidak menidakkan hasrat pihak kerajaan dalam usaha mengekang memutuskan rantaian Covid-19 tetapi dalam masa yang sama saya percaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat memberikan kelonggaran kepada skuad Harimau Malaya untuk menjalani sesi latihan pusat.

Longgar tak bermaksud abaikan SOP sebaliknya saya berpendapat mungkin tidak keterlaluan untuk MKN membenarkan pasukan kebangsaan mengadakan sesi latihan pusat secara semi-kuarantin.

Apa itu semi-kuarantin? Sebagai contoh, pasukan kebangsaan hanya dibenarkan ‘berkampung’ satu tempat khusus di mana setiap pemain dan pegawai akan sentiasa dinilai daripada pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari masa ke semasa sepanjang tempoh semi-kuarantin.

Tiada mana-mana pihak dapat masuk ke perkarangan ini termasuk media di mana hanya pegawai terpilih yang telah menjalani ujian calitan sahaja dibenarkan bersama pasukan kebangsaan sepanjang sesi latihan pusat.

Benarkan pasukan kebangsaan meneruskan sesi latihan pusat dan jika Sabtu ini tempoh waktu terlalu berdekatan untuk tata cara SOP, dan juga untuk memberi masa kepada FAM memilih tempat latihan pusat yang sesuai dengan cadangan di atas, benarkan skuad Harimau Malaya bermula Isnin ini.

Harus diingat, pemain bola sepak juga seperti pekerja-pekerja lain di mana kebanyakan sektor dibenarkan ke tempat kerja seperti yang dibenarkan oleh MKN dengan SOP yang begitu ketat.

Apatah lagi, pekerja pekerja ini ulang alik dari rumah ke tempat kerja, tetapi untuk pasukan bolasepak kebangsaan, mereka tidak akan ulang alik ke rumah, mereka akan berada di kem latihan.

Justeru, saya percaya dengan memberikan kelonggaran tetapi dalam masa yang sama memperketatkan lagi setiap SOP membuktikan bahawa betapa seriusnya perlawanan pasukan kebangsaan yang akan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam pada 26 Mac dan 31 Mac depan.

Benarkan skuad Harimau Malaya melengkapkan persiapan mereka di mana kelayakan Piala Asia 2023 ini bukan sahaja kejohanan sebaliknya ia sentiasa menjadi agenda nasional buat negara.

Ini kerana persiapan awal menjadi keutamaan buat pasukan negara sebagaimana kali terakhir mereka beraksi menewaskan Indonesia 2-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di gelanggang keramat kita, Stadium Nasional Bukit Jalil pada 19 November 2019.

Datuk Seri,

Saya berharap Datuk Seri sudi dengar luahan ini.

Ini kerana surat ini mewakili jutaan peminat bola sepak di seluruh negara dan pinta kami hanyalah satu iaitu bawalah suara kami kepada MKN.

Jika diikutkan logik akal, permintaan itu bukanlah satu perkara yang mustahil kerana ia bukan semata-mata mahu melanggar SOP sebaliknya menuntut keadilan buat pasukan bola sepak kebangsaan negara.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri yang sudi mengambil masa untuk membaca surat terbuka ini.

Yang pasti Datuk Seri dan seluruh warga MKN juga memegang prinsip ini

DEMI LENCANA DI DADA. TANAH TUMPAH DARAHKU MALAYSIA.

Terima Kasih.

Yang Benar

Mohd Fariq
(Peminat Bolasepak)

s/k Menteri Belia dan Sukan

s/k President Persatuan Bolasepak Malaysia


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: