Antarabangsa Bola Sepak Terkini

Harimau Malaya miliki masa singkat


Cheng Hoe dijangka memanggil pemain menyertai kem latihan pusat bermula 15 hingga 26 Januari ini.

PENGURUS pasukan skuad kebangsaan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi  mengakui pasukan negara kini memiliki tempoh terhad untuk melakukan persiapan bagi meneruskan momentum cemerlang dalam saingan Kumpulan G kempen kelayakan itu.

Jelasnya, pada masa sama dia turut gusar dengan adalah prestasi pasukan kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe, di samping aspek kombinasi pemain dalam skuad kebangsaan selepas lebih setahun tidak menjalani kem latihan pusat susulan penularan pandemik COVID-19.

“Menyedari UAE dan Vietnam sudah melakukan persediaan lebih awal, Cheng Hoe serta barisan pemain negara perlu memanfaatkan kem latihan pusat bermula 15 hingga 26 Januari ini yang menjadi sesi latihan berpasukan pertama skuad kebangsaan sejak November 2019.

“Sejujurnya, ada sedikit kerisauan tetapi saya mengharapkan jurulatih dapat merangka sesuatu perancangan yang lebih komprehensif serta menepati dan dapat menyediakan pasukan walaupun dalam masa singkat.

“Barisan pemain juga perlu memainkan peranan, maknanya kali ini pemain juga kena berkorban dan memberi penumpuan lebih daripada 100 peratus kerana masa yang sedikit ini perlu digunakan sebaik mungkin bagi kita menyediakan sebuah pasukan mantap,” katanya.

Susulan tiada aksi antarabangsa sepanjang musim 2020 mewujudkan kebimbangan kepada skuad Harimau Malaya menjelang dua aksi getir saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam, pada Mac depan.

Selepas lima perlawanan, Malaysia hanya dipisahkan dua mata di belakang pendahulu Kumpulan G, Vietnam yang mengumpul 11 mata sementara Thailand pada kedudukan ketiga (lapan mata), UAE keempat (enam mata) dan Indonesia di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Layak ke Piala Asia 2023 adalah misi pasukan kebangsaan dalam Peta Hala Tuju FAM (F:30) dan selepas meraih kemenangan ke atas Thailand serta Indonesia dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini, Malaysia kini berada di landasan terbaik untuk layak secara merit selepas kali terakhir pada edisi Piala Asia 1980 di Kuwait.

Malaysia dijadual menentang UAE di Dubai pada 25 Mac, sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 30 Mac.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading