
SELEPAS kali terakhir Pahang mendapatkan khidmat jurulatih import pada 2014 dengan melantik jurulatih kelahiran Australia, Ronald Smith, Sri Pahang FC dikhabarkan bakal melantik jurulatih dari Jerman , Thomas Dooley bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Seandainya perkhabaran ini menjadi kenyataan, Sri Pahang FC juga akan dibantu bersama Dollah Salleh yang dikhabarkan menggalas jawatan selaku Pengarah Teknikal sebagaimana dimaklumkan Pengurus pasukan, Datuk Muhammad Suffian Awang.
“Ramai yang ingin menjadi jurulatih pasukan Sri Pahang. Seperti yang diketahui umum, beberapa nama besar telah menghantar permohonan masing-masing dan kami sedang menilai.
“Dollah akan kekal di Pahang dan sekiranya berlaku kehadiran jurulatih dari luar negara bersama Sri Pahang kelak, Insya-Allah akan membuahkan perancangan terbaik bagi pasukan,” ujarnya, baru-baru ini.Jika benar perkhabaran ini ia sudah semestinya menggembirakan peminat Tok Gajah yang sememangnya mengharapkan suntikan baharu untuk terus bersaing musin 2021.
Disini kami kongsikan beberapa info yang perlu diketahui mengenai Thomas Dooley. Moga bermanfaat buat kita semua:-
KARIER KELAB
Dooley memulakan kerjaya profesionalnya pada tahun 1984 dengan kelab divisyen tiga FC Homburg. Sebelum itu, dia pernah bermain sebagai penyerang dengan pasukan amatur FK Pirmasens. Pada 1988 dia menyertai Kaiserslautern dan membantu pasukan layak ke Piala Jerman pada tahun 1990 sebelum setahun kemudian pasukannya meraih gelaran Bundesliga.
Turut bermain ketika pasukan memenangi DFB-Supercup 1991. Selepas Piala Dunia 1994, dia pindah ke Bayer Leverkusen, dan ke Schalke 04 setahun kemudian sebelum membantu pasukan meraih gelaran Piala UEFA 1997. Pada akhir musim, dia berpindah ke Major League Soccer (MLS), menyertai Columbus Crew dengan kontrak tiga musim yang memastikannya meraih gelaran MLS Best XI pada tahun 1997 dan 1998. Dua tahun kemudian diberpindah ke MetroStars dan beraksi untuk tempoh satu tahun sebelum bersara sebagai pemain bola sepak.
KARIER ANTARABANGSA
Menjadi warganegara Amerika Syarikat pada 1992 dan membuat penampilan antarabangsa pertamanya pada 30 Mei menentang Ireland. Dinobatkan sebagai Atlet Bola Sepak Terbaik Amerika Syarikat pada 1993 dan beraksi bersama kebangsaan di Piala Dunia 1994, termasuk perlawanan menentang Colombia yang dimenangi pasukannya 2-1.Dooley dilantik sebagai kapten untuk Piala Dunia 1998. Mengakhiri karier antarabangsanya dengan 81 caps dan tujuh gol pada 1999.

KARIER JURULATIH
Setelah bersara, Dooley kembali ke Jerman dan menjadi ketua jurulatih FC Saarbrücken pada tahun 2002 dan 2003. Dooley dilantik oleh jurulatih pasukan kebangsaan AS Jürgen Klinsmann untuk menjadi penolong jurulatih dalam perlawanan menentang Mexico pada 10 Ogos 2011.

Pada Februari 2014, Dooley menandatangani perjanjian satu tahun dengan Persekutuan Bola Sepak Filipina untuk mengendalikan pasukan kebangsaan Filipina dan hampir melayakkan diri ke Piala Asia AFC 2015 namun tewas 0-1 kepada Palestin pada final Piala Cabaran AFC 2014. Dia berjaya mendapatkan kelayakan untuk Filipina untuk peringkat pertama Piala Asia pada tahun 2019 dengan menang 2-1 ke atas Tajikistan pada bulan Mac 2018.
Kontraknya selaku jurulatih dengan Filipina berakhir pada 31 Mac 2018 dengan PFF mengumumkan Terry Butcher sebagai penggantinya pada bulan Jun 2018.





Add Comment