
KEHADIRAN pengendali baharu Penang FC (PFC) dari Republik Czech, Tomas Trucha bukanlah alasan buat jurulatih tempatan untuk melepaskan tanggungjawab malah kerjasama lebih erat perlu dijelmakan bagi memastikan pasukan meraih kejayaan.
Ketua Pegawai Eksekutif PFC, Datuk Dr Amar Pritpal Abdullah berkata, peringatan ini telah diberikan kepada jurulatih tempatan malah KPI juga ditetapkan ke atas mereka semua.
“Kebiasannya apabila adanya jurulatih mahupun pemain dari luar negara, tanggapan kita mereka akan melaksanakan semua kerja. Ini telah saya tegaskan dalam perjumpaan bersama barisan kejurulatihan. Saya telah maklumkan jika mereka (jurulatih) mencapai KPI yang ditetapkan kontrak mereka akan disambung.
“Kita perlu bergerak bersama dan membantu antara satu sama lain dan bukannya menyerahkan sepenuhnya kepada Trucha,” katanya ketika dihubungi CakapSukan, hari ini.
Mengulas mengenai Trucha, Dr Amar menjelaskan jurulatih berusia 49 tahun itu akan menandatangani perjanjian membimbing Penang FC selama setahun kira-kira jam 2.30 petang ini.
“Semalam dia ada hadir pada seisi latihan bersama pasukan, sekadar melihat seisi latihan. Apabila segalanya selesai (tandatangan kontrak) sekejap lagi dia akan turun secara rasmi membimbing latihan pasukan,” jelasnya yang turut sama hadir menyaksikan latihan pasukan di Padang Awam Jawi, petang semalam.
Dr Amar turut memaklumkan, penyertaan Penang FC dalam saingan Liga Super 2021 bukanlah sekadar pelengkap jadual tetapi menyasarkan kedudukan enam terbaik atau terus kekal bersaing untuk musim seterusnya.
“Trucha yang mempunyai Lesen Kejurulatihan Profesional Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) bersama-sama ketua jurulatih terdahulu, Manzoor Azwira Abd Wahid akan menggalas tugasan memastikan pasukan itu kekal bersaing dalam Liga Super 2022.
“Jika dia berjaya memastikan Harimau Kumbang kekal dalam Liga Super 2022, kontraknya akan disambung lagi semusim,” ujarnya.

Skuad Harimau Kumbang layak ke saingan Liga Super 2021 selepas muncul juara Liga Premier musim ini dengan kutipan 26 mata daripada lapan kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.
Kali terakhir Penang FC beraksi dalam saingan Liga Super ialah pada musim 2017 yang menyaksikan mereka menduduki tangga terakhir daripada 12 pasukan.
Pasukan berkenaan turut diperkuatkan dengan kehadiran Sheriddin Boboev dari Tajikistan yang mengisi slot pemain Asia serta pertahanan tengah dari Indonesia, Ryuji Utomo yang mengisi kuota pemain ASEAN.





Add Comment