Bola Sepak Terkini

Safee, Hadin perkuat KLUFC 2021


Pengalaman Safee dan prestasi semasa Hadin ditagih The City Boys mengharungi musim 2021.

BEKAS penyerang Petaling Jaya City FC, Safee Sali dilihat masih belum hilang taringnya apabila disambar Kuala Lumpur United FC (KLUFC) bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Keputusan penghijrahan bekas pemain Selangor, Pelita Jaya FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke Kuala Lumpur sekali gus menyaksikan bekas pemain kebangsaan itu kembali menyarung jersi skuad ‘The City Boys’ selepas 15 tahun.

Mohd Safee, 36, menandatangani kontrak selama setahun dan kehadirannya bersama KLUFC musim depan memberi lebih banyak pilihan di posisi serangan skuad itu yang bakal berdepan cabaran baharu dalam kancah Liga Super selepas menduduki tempat ketiga dalam saingan Liga Premier musim lepas.

Ujarnya, dia teruja kembali beraksi bersama KLUFC selepas sekian lama dan berazam membalas kepercayaan itu dengan memberikan segalanya demi membantu pasukan mencapai kejayaan.

“Saya amat berbesar hati dapat kembali semula kepada pasukan di mana saya memulakan karier profesional pada 15 tahun yang lepas. Saya cukup bangga berada dalam stadium ini, banyak sejarah dan kenangan bersama pasukan ini.

“Selagi saya belum mengucapkan dan melafazkan kata persaraan, selagi itu saya ingin menabur bakti dan segala pengalaman untuk pasukan saya bermain,” katanya pada sidang media majlis pengenalan pemain baharu KLUFC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Ditanya mengenai faktor usia yang mungkin memberi kesan kepada sesetengah pemain lain untuk terus mewarnai sukan bola sepak, dia menyifatkan faktor usia tidak akan melenyapkan keazamanya untuk membuktikan kemampuannya sekali gus merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

“Bermain dengan pasukan yang saya pernah bermain suatu ketika dulu, memang saya cukup teruja walaupun saya bakal berumur 37 tahun, saya masih merasakan seperti 17 tahun. Saya menyedari situasi perlu bersaing dengan penyerang asing tetapi itu tidak melenyapkan keazaman saya.

“Saya faham faktor umur dan segalanya diambil kira dalam usaha jurulatih melaksanakan perancangannya, jadi saya akan berusaha bersungguh-sungguh dan serahkan kepada jurulatih untuk tentukan siapa yang diturunkan,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, KLUFC turut menandatangani bekas pemain tengah kebangsaan dan Kedah musim lalu Muhammad Hadin Azman untuk tempoh dua tahun sehingga penghujung musim 2022.

Bekas pemain  Felda United FC berusia 26 tahun itu berkata, KLUFC memberi tawaran lebih baik berbanding beberapa pasukan lain yang berminat mendapatkan khidmatnya.

“Kuala Lumpur adalah negeri kelahiran saya, saya sudah pergi ke utara (Kedah) dan selatan (JDT), Kuala Lumpur sahaja saya belum pernah (wakili), jadi ini satu kebanggaan akhirnya dapat berada dalam pasukan ini dan kita akan cuba yang terbaik mencabar saingan musim depan.

“Sasaran utama saya tahun depan ialah membantu KLUFC kekal dalam Liga Super dan saya akan berusaha mengembalikan prestasi terbaik untuk bantu pasukan pergi sejauh mungkin (dalam saingan liga),” katanya.

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: