Bola Sepak Terkini

Eki jadi pilihan


Shahrel Fikri muncul penjaring tempatan terbanyak dengan 10 gol secara keseluruhan dalam Liga Super 2020. (Foto : BERNAMA)

CALON pilihan bagi kategori  Penyerang Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 20 Virtual, Shahrel Fikri tidak menganggap laluannya mudah untuk merangkul trofi berkenaan.

Pemain yang beraksi bersama Perak pada musim ini menjadi sebutan untuk memenangi kategori itu selepas muncul penjaring tempatan terbanyak dengan 10 gol secara keseluruhan dalam Liga Super 2020.

Namun, Shahrel menyifatkan ada tiga calon yang sememangnya turut layak untuk meraih trofi tersebut iaitu pemenang Kasut Emas, Ifedayo Omosuyi (Selangor), Ramadhan Saifullah Usman (JDT) dan Diogo Luis Santo (JDT).

Bagi pemain yang mesra dengan panggilan Eki dan bakal beraksi bersama Selangor musim depan itu, dia sememangnya mengidamkan untuk memenangi kategori tersebut buat kali kedua selepas kali terakhir dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik pada tahun 2017 ketika mewakili PKNP FC dalam saingan Liga Premier.

“Kali terakhir saya menang pada tahun 2017 dan ketika itu saya berjaya meledak 20 gol bersama PKNP FC, jadi tahun ini perasaan itu agak berbeza kerana saya tercalon pada waktu saya bersaing dalam CIMB Liga Super dan semestinya ia akan menjadi persaingan cukup sengit.

“Masing-masing ada kelebihan tersendiri untuk meletakkan mereka sebagai pemenang, tetapi bagi saya, Diogo, Ramadhan atau Omosuyi mungkin akan cipta kejutan.

“Semestinya saya mengimpikan trofi itu kerana tahun lepas saya tidak tercalon, dan kali terakhir menang pun pada 2017, jadi sekarang apabila dah tercalon, saya sangat gembira dan berharap yang betul-betul layak akan menang”, katanya.

Calon-calon lain yang turut berada dalam kategori Penyerang Terbaik adalah Casagrande (Pulau Pinang), Dominique Da Sylva (Terengganu FC), Engku Nur Shahir Engku Yacob (Terengganu FC II), Fernando Rodriguez (JDT II), Francis Kone (Kuala Lumpur), dan Tchetche Kipree (Kedah).


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading