Bola Sepak Komentar Semasa

‘Khairul Azman kini Helang Merah’

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

 

Khairul Azman dilantik sebagai jurulatih penjaga gol skuad Helang Merah baharu musim 2021.

Oleh MOHD FARIQ

SIAPA tidak kenal Khairul Azman Mohamed?

Inilah sosok legenda penjaga gol negara yang memiliki persis David Seaman cukup terkenal pada tahun 90an.

Memiliki ketinggian 1.90 meter dengan penampilan gaya rambut panjang yang diikat rapi, Khairul Azman telah berjaya memenangi trofi Liga Premier (kini dijenamakan sebagai Liga Super) dan juara Piala FA 1995 bersama Sabah pada tahun 1996 dan juara Piala Malaysia dengan Pahang pada tahun 1992.

Namun perkhabaran gembira menanti penyokong Kedah sebagaimana Khairul Azman telah dilantik sebagai jurulatih penjaga gol skuad Helang Merah baharu dalam persiapan menghadapi Liga Malaysia musim 2021.

Khairul Azman yang sebelum ini menjadi jurulatih penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), mengakui beliau cukup teruja untuk memulakan karier baharu di bumi Utara selepas berkhidmat bersama skuad Harimau Selatan sejak 2013.

“Pertama saya mahu mengucapkan terima kepada kepada pasukan Kedah FC, di bawah Ketua Pegawai Eksekutif Khamal Idris Ali (juga bekas pemain Kedah 90an) yang memberikan kepercayaan kepada saya sebagai jurulatih penjaga gol mereka.

“Sudah tentu saya bersama pegawai kejurulatihan lain akan berusaha keras membantu jurulatih, Aidil Sharin Sahak untuk melakarkan pencapaian positif pada musim akan datang,” katanya.

Pernah meraih gelaran sebagai penjaga gawang terbaik di Asia pada tahun 1995.

 

Memulakan karier profesional pada tahun 1985 bersama Pahang sebelum 20 tahun kemudian bersara dengan pasukan Sabah, nama Khairul Azman mula disebut-sebut ketika membantu skuad negara menjuarai Pestabola Merdeka edisi 1993 yang menjadi kejuaraan kedua di peringkat antarabangsa selepas memenangi Piala Kemerdekaan Indonesia setahun sebelum itu.

Malah, Khairul Azman juga pernah dinobatkan sebagai penjaga gawang terbaik di Asia pada tahun 1995.

Namun tahun 2005 menyaksikan legenda yang kini berusia 52 tahun berdepan detik sukar sepanjang kariernya sebagai pemain profesional.

Ini kerana Khairul Azman dipaksa bersara selepas tidak dapat pulih masalah kecederaan di mana lutut kanannya tidak mempunyai sebarang ligamen manakala lutut kirinya tidak mempunyai ligamen, tendon dan tisu lembut.

Situasi itu turut melihat Khairul Azman cukup bergelut di mana beliau mendedahkan pernah bergantung pendapatan daripada SOCSO untuk meneruskan kehidupan seharian.

Namun Khairul Azman mendedahkan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim adalah individu yang membantu memulihkan kariernya selepas dilantik menjadi jurulatih penjaga gol skuad Harimau Selatan pada 2013.

Lebih membanggakan buat Khairul Azman apabila membantu pasukan JDT yang ketika itu dibimbing Mario Gomez memenangi Piala AFC 2015 sekali gus menyaksikan sejarah baharu tercipta sebagai kelab pertama dari Asia Tenggara menjulang trofi tersebut.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim adalah individu yang membantu memulihkan kariernya.

 

Biarpun jodohnya bersama skuad Harimau Selatan bertahan sehingga 2019 tetapi Khairul Azman mendedahkan JDT ada kenangan tersendiri.

“Perjalanan karier jurulatih saya bermula dengan JDT semasa Fandi Ahmad jadi jurulatih dan saya mahu mengambil peluang untuk berterima kasih kepada Tunku Ismail yang menberikan kepercayaan kepada saya menjadi jurulatih (penjaga gol) JDT.

“Lebih manis, saya telah berjaya memenangi Piala AFC pada tahun 2015 di mana itulah pencapaian terbaik dalam karier saya sebagai staf kejurulatihan.

“Tidak dilupakan juga pencapaian JDT dalam aksi domestik seperti Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia di mana saya sangat berbangga menjadi sebagai salah satu lipatan sejarah dalam kelab ini.

“Kontrak saya bersama JDT tamat pada tahun lalu dan saya masih giat dalam aktiviti kejurulatihan serta tahap kecergasan walaupun tidak terikat dengan mana-mana pasukan pada tahun ini bagi memastikan kondisi saya berada di tahap terbaik.

“Biarpun saya kini bersama pasukan Kedah, saya sentiasa menghormati Tunku Ismail yang sentiasa mengambil berat tentang diri saya, karier saya dan segala jasanya hanya Allah S.W.T sahaja mampu membalasnya,” katanya.

Pada masa sama, Khairul berkata sekarang visi and misinya adalah untuk pasukan barunya Kedah FC dan dia akan menberi segala jiwa raganya dengan pasukan barunya.

“Saya mahu membantu Kedah FC terus melanjak lagi jauh dengan apa jua pengalaman yang saya ada saya akan curahkan untuk pasukan baru saya ini.” jelasnya.

(Nota: Mohd. Fariq merupakan penulis sukan bola sepak lebih daripada 20 tahun)

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: