Antarabangsa Bola Sepak Komentar Terkini

Syahrian Abimanyu buat pilihan tepat sertai JDT


Syahrian Abimanyu adalah pemain Indonesia pertama yang bermain untuk Johor Darul Ta’zim.
EKSKLUSIF
Oleh : MOHD FARIQ
SYAHRIAN ABIMANYU berada di tempat paling terbaik buat masa ini.
Itulah kenyataan pertama Muhammad Danurwindo, Penasihat Teknikal Persatuan Sepak Bola Indonesia (PSSI) mengulas “kedatangan’ Syahrian di pasukan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).
JDT mengumumkan Syahrian telah menandatangi kontrak bersama JDT, sebagai salah satu perancangan jangka masa panjang pasukan JDT.
Pemain berumur 21 tahun itu, merupakan salah seorang pemain muda yang berbakat dari Indonesia, dan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempunyai misi dan visi untuk Syahrian.
“Syahrian telah memilih kelab paling tepat untuk melonjak kariernya ke landasan lagi baik. JDT adalah kelab paling berjaya sekarang dan paling efisyen dari semua segi.
“Jangan terkejut JDT juga sering di sebut di Indonesia di kalangan peminat dan juga warga bolasepak Indonesia. Banyak kelab di sini ingin mengikuti jejak langkah JDT.
“Mereka amat teruja dengan perwatakan dan kepimpinan Tunku Mahkota Johor serta ingin membawa budaya itu kepada kelab-kelab di Indonesia,’ kata Danurwindo, 71, yang juga bekas Pengarah Teknikal PSSI.
Danurwindo tidak menolak kemungkinan banyak kelab-kelab di Indonesia akan mengikut jejak langkah JDT
Syahrian, atau lebih dikenali sebagai Abi, adalah bekas pemain Madura United yang telah memulakan karier bolasepak bersama SSB Mandiri Jaya Bogor dan Akademi Boalsepak Jakarta.
Dia juga pernah mendapat pendedahan di Sepanyol bersama Atletico Levante pada 2016 hingga 2017 dan kembali menyertai Kelab Liga Indonesia, Persija Jakarta.
Pada musim 2018, Syahrian menyertai kelab Sriwijaya selama semusim dan kelab terakhir sebelum JDT adalah Madura United. Ramai tidak mengetahui bahawa Syahrian adalah anak kepada Rasiman, penolong jurulatih Madura United yang pernah  berkhidmat bersama pasukan T Team di Liga Malaysia di antara tahun 2015 hingga ke 2017 sebagai Jurulatih Kecergasan.
Semasa itu Rahmad Darmawan, seorang lagi jurulatih dari Indonesia, adalah jurulatih T Team dan sekarang beliau adalah jurulatih Madura United.
Rasiman bapa kepada Syahrian pernah berhidmat dengan T Team sebagai jurulatih Kecergasan tahun 2015 ke 2017.
Kata Danurwindo dalam temubual eksklusif dengan Cakapsukan: “Saya telah melihat sendiri proses dari kecil bagaimana Syahrian dari kecil
sebagai pemain bolasepak dan di sini saya nyatakan bahawa Syahrian adalah antara pemain yang berbakat pernah di hasilkan oleh Indonesia sepanjang penglibatan saya dalam bolasepak selama 50 tahun.
“Bakat Syahrian telah menarik minat banyak kelab sebelum ini dan juga JDT yang telah mengintip pemain ini sejak tiga tahun lalu dan sekarang JDT telah berjaya mengikatnya.
“Bapa Syahrian juga telah memberi impak besar kepada anaknya dalam menjadi sumber kekuatan Syahrian dalam membentuk jati diri anaknya yang semasa umur 15 tahun telah berkelana di Liga Sepanyol.
“Bukan semua pemain di usia muda sanggup untuk keluar berkelana di luar negara, akan tetapi Syahrian mempunyai semangat jati diri yang luar biasa.
“Sememangnya JDT adalah tempat terbaik untuk Syahrian meneruskan cita citanya sebab saya percaya JDT antara Kelab terbaik di Asia sekarang bukan hanya di atas padang akan tetapi di luar padang dari semua segi dan perancangan jangka panjang JDT untuk Syahrian akan memberi impak besar padanya”, ujarnya.
Rahmad Darmawan
Danurwindo berkata Syahrian akan menjadi pemain yang bernilai tinggi dalam masa 2-3 tahun lagi dan ini akan memberi pulangan lumayan kepada JDT jika ada perancangan lain selain kekal bersama JDT.
“Sekarang ini Syahrian harus terus menjaga nama baik beliau, sudah berada di kelab paling berjaya sejak 5 tahun lepas, gunakan lah peluang sebaiknya untuk melonjak lagi jauh”, pesan Danurwindo.
(Nota: Mohd. Fariq merupakan penulis sukan bola sepak lebih daripada 20 tahun)

Tags

Add Comment

Click here to post a comment