Motorsport

Tulang betis Danial Syahmi tumbuh semula

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

TULANG betis pelumba muda negara, Mohammad Danial Syahmi Ahmad Sharil, 18, berjaya tumbuh semula sepanjang 13 sentimeter dalam tempoh hanya 10 bulan.

Memetik laporan BH Online, kombinasi rawatan sel stem dan Teknik Ilizarov yang digunakan oleh pakar perubatan Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC) melakar sejarah tersendiri.

Pelumba kelahiran Pulau Pinang itu bukan sahaja sudah mampu berjalan tanpa tongkat, tetapi kembali beraksi di litar lumba mewakili Malaysia, kira-kira 15 bulan selepas menjalani rawatan.

Walaupun terpaksa mengubah gaya dan kemahiran tunggangannya berikutan kecederaan itu, ia tidak sesekali melunturkan semangatnya untuk mencipta kejayaan semula di litar lumba.

“Saya ingin buktikan kepada semua yang banyak memberikan sokongan terutama ketika saya terlantar sakit bahawa saya masih mampu memberikan aksi terbaik.

“Saya sasarkan untuk mencapai kedudukan tiga terbaik dalam pusingan kedua Kejohanan Superbike Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada penghujung Disember ini,” katanya.

Atlet muda itu mengalami kecederaan parah selepas terjatuh akibat dilanggar pelumba lain dalam perlumbaan sokongan Grand Prix Malaysia, Asia Talent Cup (ATC) pada 4 November 2018.

Tulang betisnya hancur kira-kira 10 sentimeter dalam akibat kejadian itu.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: