motorsport Semasa

Hakim Danish layak ke Idemitsu Asia Talent Cup 2021

PELUMBA cilik dari Terengganu Muhammad Hakim Danish Ramli, layak beraksi di Kejohanan Idemitsu Asia Talent Cup 2021 selepas menjuarai Kejohanan Permotoran SIC MiniGP, di Litar Kart Antarabangsa Sepang (Sepang International Kart Circuit), hari ini.

Pelumba berusia 13 tahun itu, mengungguli perlumbaan pertama kategori 160cc melibatkan 20 pusingan menerusi catatan masa 18 minit 38.620 saat (s), sebelum mengekalkan kemenangan pada perlumbaan kedua selepas melakar masa 18:40.340s.

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menerusi hantaran terbaharu dalam laman Facebooknya memaklumkan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor, Kuala Terengganu itu, muncul juara keseluruhan kategori 160cc selepas mengumpul 200 mata daripada empat pusingan perlumbaan musim ini.

Wakil Negeri Sembilan Irfan Haykhal dan pelumba Selangor Farres Putra, masing-masing muncul naib juara dan tempat ketiga selepas mengumpul 109 mata dan 102 mata.

Sementara itu, seorang lagi pelumba muda dari Terengganu Qabil Irfan Azlan, 8, mengungguli kategori 110cc, selepas mengumpul 200 mata daripada empat pusingan perlumbaan pada musim ini.

Qabil Irfan yang menguasai tiga pusingan perlumbaan sebelum ini, memenangi perlumbaan pertama melibatkan 15 pusingan menerusi catatan masa 14 minit 39.836s, sebelum mengekalkan kemenangan pada perlumbaan kedua selepas melakar 14:39.660s.

Pelumba Melaka Adie Putra dan seorang lagi wakil Terengganu Adam Daniel, terpaksa berpuas hati selaku naib juara dan tempat ketiga selepas mengutip 129 mata dan 109 mata.

Kejohanan SIC MiniGP merupakan satu inisiatif program akar umbi, melibatkan kerjasama antara Litar Antarabangsa Sepang dan ZK Racing, bagi mencungkil bakat pelumba muda berusia lapan hingga 13 tahun dalam sukan permotoran, sebelum melangkah ke saingan lebih kompetitif seperti Kejohanan Idemitsu Asia Talent Cup. -Bernama–

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: