Bola Sepak Terkini

Nafuzi pilih Mora dan Aidil Shahrin


Nafuzi bangga berada sebaris dengan jurulatih berpengalaman yang turut tersenarai pada ABK 20.

PENGENDALI Terengganu FC, Nafuzi Zain melihat rakan seperjuangannya dari Kedah, Aidil Shahrin Sahak dan pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora  antara calon pilihan yang bakal dinobatkan selaku Jurulatih Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 20 Virtual.

Turut tersenarai dalam kategori berkenaan, Nafuzi  melahirkan rasa bangga dapat sebaris dengan jurulatih Liga Malaysia yang lebih berpengalaman.

Kali pertama diberi kepercayaan menjadi ketua jurulatih nyata membuktikan kemampuannya untuk mengemudi pasukan dengan cemerlang pada musim ini apabila berjaya membawa skuad naib juara Piala Malaysia 2018 itu berada di tangga ketiga Liga Super 2020 selain turut layak beraksi di pentas Piala AFC 2021.

Namun, jurulatih berusia 42 tahun ini menyifatkan peluangnya untuk mengungguli kategori tersebut pastinya ditentang hebat oleh Mora yang jelas berjaya mengemudi JDT meraih trofi CIMB Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut manakala Aidil juga mempunyai aura tersendiri selaku pengendali Kedah untuk menjadi calon pilihan kali ini.

“Saya sebenarnya masih tidak sangka dapat tercalon apatah lagi ini musim pertama saya ditugaskan selaku ketua jurulatih dan dapat berada sebaris dengan calon-calon lain yang lebih berpengalaman cukup memberi saya seribu satu rasa.

“Saya akui bukan mudah untuk galas tugas sebagai ketua jurulatih, tetapi dengan kerjasama semua dalam pasukan TFC berjaya meletakkan kami di kedudukan ketiga liga dan ini adalah pencapaian yang memuaskan untuk kami semua.

“Calon pilihan yang saya rasa akan memberi saingan paling sengit adalah Mora dan Aidil kerana kita tahu bagaimana dua jurulatih ini membawa pasukan dengan cemerlang saban musim dan siapa pun yang akan dinobatkan Jurulatih Terbaik nanti, saya percaya yang dipilih itu adalah yang terbaik”, jelasnya.

Nafuzi merupakan calon jurulatih tempatan paling muda dalam kategori Jurulatih Terbaik 2020 berbanding tiga lagi jurulatih tempatan lain iaitu Yusri Che Lah (Kelantan), Nidzam Adzha Yusoff (Kuala Lumpur) dan Manzoor Azwira, (Pulau Pinang) manakala enam lagi calon adalah jurulatih import iaitu Aidil Sharin Sahak (Kedah), Akira Higashiyama (Kuching FA), Benjamin Mora (Johor Darul Ta’zim), Frank Bernhardt (UiTM FC), Mehmet Durakovic (Perak) dan Michael Feichtenbeiner (Selangor).

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading