Lain-Lain Semasa Terkini

Ibrahim dilantik PJS baharu

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

SELEPAS hampir dua bulan kerusi bagi jawatan Pesuruhjaya Sukan (PJS) kosong, akhirnya hari ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melantan Setiausaha Bahagian (Dasar dan Perancangan Strategik) Ibrahim Mohd Yusof sebagai Pesuruhjaya Sukan (PJS) baharu.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, KBS berkata perlantikan ini berkuat kuasa 21 Disember 2020 hingga 20 Disember 2022.

“Beliau yang berkelulusan Sarjana Pengurusan Maklumat dan Sarjana Muda Statistik dari UiTM mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan khasnya dalam perancangan dasar dan pembangunan sukan.

“Telah memulakan karier dalam perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1997 dan telah memegang pelbagai jawatan sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan,” ujar kenyataan tersebut.

Menurutnya lagi, Ibrahim pernah berkhidmat di KBS dengan jawatan terakhirnya sebagai Setiausaha Bahagian (Dasar dan Perancangan Strategik) telah terlibat secara langsung dengan Akta Pembangunan Sukan (Pindaan) 2018 (Akta A 1570).

Katanya, di samping itu, beliau turut terlibat dalam penggubalan polisi sukan termasuk penyediaan Pelan Strategik KBS dan Kertas Strategik KBS bagi Rancangan Malaysia ke-12.

“KBS yakin dan percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki oleh beliau akan dapat memperkasakan tadbir urus Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPJS) dan seterusnya memacu kecemerlangan dalam pembangunan sukan negara.

“KBS juga berharap agar semua persatuan sukan dapat memberikan kerjasama penuh kepada beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai PJS,” ujarnya.

Ibrahim menggantikan PJS sebelum ini iaitu Dr Wirdawati Mohd Radzi yang memendekkan kontrak perkhidmatannya pada 30 Oktober lalu.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: